Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88 seharusnya memberi pampasan kewangan kepada semua pelanggan yang menjadi mangsa insiden pencerobohan pangkalan datanya, Mei lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau kesal kerana iPay88 hanya mengumumkan kejadian tersebut semalam tanpa memberi sebarang maklumat lengkap tentang jumlah data peribadi atau mangsa yang terkesan serta langkah-langkah yang telah diambil untuk memaklumkan mangsa pencerobohan data peribadi.

Menurut beliau, tindak balas iPay88 itu amat tidak memuaskan dan syarikat tersebut wajib menjelaskan bila syarikat tersebut sebenarnya mengesan pencerobohan atau kecurian data berlaku, mengapa ia tidak membuat pemakluman lebih awal dan mengapa ia tidak memaklumkan mangsa-mangsa yang terkesan.

“iPay88 harus sedar, tanpa data peribadi mangsa-mangsa ini, model perniagaan syarikat seperti iPay88 pasti tidak berjaya.

“Oleh itu, jika iPay88 serius dan ikhlas dalam menangani insiden keselamatan siber ini, ia harus memberi pampasan kewangan kepada semua mangsa ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin menjejaskan data kad pengguna dan syarikat itu telah menggunakan khidmat pakar keselamatan siber bagi menanganinya sejak 31 Mei lalu.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa agar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2021 dipinda segera bagi memastikan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian seperti iPay88 memberi notis secepat mungkin kepada pihak berkuasa dan mangsa-mangsa apabila berlaku pencerobohan atau kecurian data.

Beliau turut meminta Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta badan-badan lain seperti Bank Negara Malaysia dan bank-bank komersial agar lebih proaktif membantu mangsa-mangsa kecurian data peribadi akibat kelemahan keselamatan mana-mana bahagian di dalam ekosistem kewangan, seperti dalam kes iPay88.

“Mangsa-mangsa ini akan mengalami trauma, kegusaran dan kerisauan tentang data peribadi mereka yang telah dicuri, serta aktiviti jenayah yang mungkin berlaku berkait data mereka itu.

“Malah jika mereka nanti menjadi mangsa scammer, sudah pasti akan ada yang menjadi murung atau mengalami masalah kesihatan mental yang lain.

“Oleh itu, institusi kewangan serta badan-badan seperti ABM, AIBIM dan lain-lain perlu menjadi penggerak utama bagi mengesyorkan mekanisme pampasan termasuk kewangan kepada mangsa-mangsa kecurian data peribadi,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat insiden-insiden pencerobohan, kecurian dan kebocoran data peribadi yang berlaku sejak lima tahun lalu.

Beliau menyarankan agar RCI tersebut mengenal pasti langkah-langkah menyeluruh bagi memperkasa keselamatan siber negara dan mendapatkan keadilan buat mangsa-mangsa kecurian data peribadi termasuk mangsa-mangsa scammer. – MalaysiaGazette