KUALA LUMPUR – Penetapan harga siling untuk minyak masak lima kilogram pada paras RM34.70 menggembirakan pengguna, tetapi meresahkan peruncit.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, harga pasaran sebelum penetapan harga siling adalah antara RM39 dan RM42, keadaan itu bermakna pengguna kini dapat menikmati harga minyak yang lebih murah.
Menurutnya, peniaga makanan dan penjaja juga mendapat kebaikan daripada penetapan harga siling kerana harga yang tetap membolehkan mereka menghitung dan mengawal kos dengan lebih mudah.
Katanya, di sebalik orang yang bersuka dengan harga siling ini, peruncit yang mempunyai stok lama bagaimanapun berdepan kerugian.
“Kerugian khususnya berlaku dalam kalangan peruncit yang memasukkan stok yang banyak apabila paras harga minyak masih tinggi sebelum ini.
“Mereka kini terpaksa menjual dengan harga yang lebih rendah dan keadaan ini sudah tentunya merugikan,” katanya kepada China Press.
Jelasnya, sekiranya harga siling dinaikkan selepas ini, peniaga masih tidak boleh menaikkan harga secara sembarangan kerana mungkin diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana mencatut.
“Walaupun stok lama dibeli lebih mahal, tetapi peruncit tidak boleh menaikkan harga secara mendadak walaupun jika harga siling dinaikkan selepas ini,” katanya.
Chee Meng mempertikaikan sama ada kerajaan mengambil kira kerugian yang dialami pengilang, pengusaha pasar raya dan peruncit semasa mengumumkan harga siling.
Katanya, pengumuman harga siling tanpa perbincangan dengan wakil perusahaan terlebih dahulu adalah tidak adil buat mereka yang terjejas.
“Ini merupakan satu dasar yang memikir bagi pihak pengguna, tetapi tidak adil untuk peruncit,” katanya. – MalaysiaGazette