TELUK INTAN – Putra Perak tidak terkesan dengan tindakan diambil mantan Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman bersama Ketua Bahagian Larut, Hasbullah Alias keluar parti itu pada Rabu lalu.
Pemangku Pengerusi Perhubungan Putra negeri yang baru dilantik, Mohd Fauzi Zulkifli berkata, majoriti Ketua-ketua Bahagian dan Ahli Jawatankuasanya masih bersama parti itu.
Malah, kata beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih atas khidmat kepemimpinan yang diberikan oleh kedua-dua tokoh berkenaan ketika bersama Putra Perak Bahagian Larut selama ini.
“Kami, barisan kepimpinan Putra Perak menghormati pendirian mereka berdua meninggalkan parti ini demi meneruskan perjuangan politik yang sehaluan lagi dengan Putra.
“Kenyataan kami adalah senada dengan kenyataan rasmi Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bahawa dia sendiri tidak terkejut dengan sikap kedua-dua insan ini meninggalkan Putra berdasarkan situasi sebelum ini.
“Oleh itu , Putra Perak menyokong tindakan mereka meninggalkan parti ini supaya tidak ada lagi individu yang kurang keyakinan dengan perjuangan parti bawah pimpinan Dr. Ibrahim.
“Ini satu ujian besar yang ada hikmahnya bagi Putra dalam menghadapi PRU15 tidak lama ini,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Teluk Intan, Perak hari ini.
Turut hadir lapan Ketua-ketua Bahagian Putra dari Pasir Salak, Tanjung Malim, Batu Gajah, Tapah, Gerik, Taiping dan Kampar.
Hamidah, yang memegang jawatan Naib Presiden Putra mengumumkan keluar parti itu berkuatkuasa serta merta.
Katanya, beliau bersama Hasbullah mengambil keputusan itu susulan Putra menyertai gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan penubuhannya oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad minggu lalu.
Susulan keputusan itu juga, beliau memaklumkan akan turut melepaskan semua jawatannya dalam Putra.
Menurut Mohd Fauzi yang juga Ketua Putra Bahagian Teluk Intan, situasi memberi hikmah positif kepada parti agar setiap peringkat cawangan, bahagian dan negeri dapat meneruskan perjuangan sehaluan dengan pucuk pimpinan.
Beliau berharap, situasi itu bakal mengangkat martabat Putra dan mencipta kemenangan bersama GTA yang diketuai Tun Dr. Mahathir selaku Pengerusi parti Pejuang.
Dalam sidang media khas itu juga, beliau membaca ikrar Ketua-ketua Bahagian yang bertekad meneruskan perjuangan politik bersama parti.
“Kami memegang utuh prinsip perjuangan dan menyokong penuh hala tuju Putra Malaysia bersama GTA yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir.
“Kami juga berpandangan agar manifesto parti Putra dapat digariskan dalam hala tuju perjuangan GTA kelak.
“Secara rumusannya, Putra Perak menyokong dan mendokong penuh wala’ kesetiaan perjuangan kepemimpinan Putra Malaysia bersama GTA,” katanya.