Fazilah Ariff bercakap pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras di Bahagian Penguatkuasaan KDRM, Dengkil, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2022.

DENGKIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket  penyeludupan  minuman keras import tidak bercukai dari negara benua Asia dan Eropah dengan rampasan 66,000 tin minuman keras bertanda duti tidak berbayar (MDNP) dan tidak bercukai.

MTT (Menanggung Tugas-Tugas) Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Fazilah Ariff berkata, kejayaan dan rampasan itu menerusi serbuan di sebuah gudang  di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang pada 2 Ogos lalu.

“Semasa serbuan, anggota sindiket yang berada di dalam gudang panik  dan bertempiaran lari meninggalkan kesemua minuman keras berkenaan yang nilainya dianggarkan berjumlah RM181,595 dengan nilai duti dan cukai sebanyak RM683,193.

“Semakan dan siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar serta menyeludup arak import tidak bercukai itu yang dibawa masuk dari negara India dan Belanda serta minuman keras buatan tempatan bertanda MNDP yang jualannya hanya dibenarkan di tempat diwartakan sebagai zon bebas cukai,” kata beliau pada sidang di Pejabat Kastam Dengkil di sini hari ini.

Dalam serbuan sama, turut ditemui sejumlah bir pelbagai jenama yang dimuatkan dalam sebuah lori ‘bonded’ 12.19 meter, dua buah lori tiga tan, sebuah lori satu tan dan sebuah van yang digunakan untuk kegiatan haram itu oleh sindiket tersebut.

Fazilah Ariff (dua kanan) menunjukkan minuman keras yang berjaya dirampas sebelum diseludup pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan KDRM, Dengkil, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2022.

“Malah, ketika menyerbu, kesemua bir tersebut sedang dipindahkan oleh anggota sindiket itu dari lori ‘bonded’ ke dalam lori yang lebih kecil dan juga van yang bersiap sedia untuk mengedar ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Nilai kenderaan yang dirampas dianggarkan sebanyak RM385,000 dan nilai keseluruhan termasuk rampasan minuman keras itu dianggarkan berjumlah RM1.24 juta.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa semasa menggembur gudang sindiket arak itu memandangkan kesemua ahli sindiket itu telah bertindak melarikan diri sejurus selepas kehadiran pasukan serbuan di premis tersebut,” tambahnya.

Kesemua bir dan juga kenderaan yang dirampas telah disita dan Jabatan Kastam akan menjalankan siasatan lebih terperinci untuk mengesan pemilik gudang dan kenderaan yang dirampas serta disita bagi mengenal pasti dalang utama.

Siasatan sedang dilakukan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976 yang memperuntukkan hukuman denda berjumlah 10 kali ganda nilai barang rampasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast