Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran selepas memenangi jawatan Presiden Parti MIC Penggal 2021-2024 tanpa bertanding di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan rasa kecewa dengan segelintir masyarakat India di negara ini yang masih lagi terpedaya dengan cerita-cerita dongeng pembangkang ketika pilihan raya umum  semakin hampir.

Beliau berkata, sudah menjadi tabiat, khasnya pemimpin India dari parti pembangkang yang berterusan menuding jari kepada MIC untuk menutup segala kelemahan mereka terutamanya dalam menunaikan janji dahulu.

“Ingat lagi semua pembohongan demi pembohongan bagi memastikan masyarakat India tidak mengundi MIC? Kemudian mereka (pembangkang) berjanji pula jika mereka di berikan kemenangan, kononnya semua yang tidak dilaksanakan akan mereka lakukan dalam tempoh 100 hari. Akhirnya, habuk pun tiada.

“Adakah kita sudah lupa? Kerana mereka sudah kembali lagi, kali ini dengan pembohongan-pembohongan yang lebih teruk, cakap-cakap kosong serta janji bulan bintang, kerana apa? Kerana pilihan raya juga sudah semakin hampir. Mereka tidak perlu buat kerja seperti MIC, mereka ini guna air liar sahaja.

“Apa sahaja yang berlaku, semuanya salah MIC. Pembangkang guna modal sama, apakah masyarakat kita masih tidak sedar? MIC sudah berjuang lebih 70 tahun dan masih lagi terus bersuara dan membela kaum India dan lain-lain sehingga kini. Mengapakah masih tidak nampak?

“Bila mereka pegang tampuk kuasa, lantik sampai empat menteri akhirnya kata bukan kitab suci, akhirnya mereka kata mereka bukan Menteri yang jaga satu kaum. Bila minta undia, guna perkauman lepas menang terus lupa, hanyut. Tolonglah sedar,” katanya ketika Konyensyen Perwakilan Negeri Pulau Pinang malam tadi.

Konvensyen MIC Perwakilan di Pulau Pinang malam tadi.

Terdahulu ketika merasmikan Konvensyen MIC peringkat negeri Perlis ke-75 dan ke-76 pula, Vigneswaran berkata, kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah membuka mata  kepemimpinan parti itu untuk lebih agresif dan berdikari.

Jika sebelum ini, MIC banyak bergantung kepada jentera BN terutamanya UMNO, kini parti itu menggerakkan seluruh kekuatannya merangka strategi bagi membantu BN kembali berkuasa.

MIC tidak mahu terlalu bergantung kepada jentera rakan komponen dalam komponen BN, sebaliknya MIC akan menggerakkan sendiri keupayaan jentera parti itu bagi menghadapi PRU-15 kelak.

“Bila BN kalah dalam PRU14, ia memberi pengajaran kepada kita agar melihat dengan lebih teliti di mana kelemahan yang perlu dibaiki terutama dalam parti-parti komponen BN seperti MIC.

“Ada hikmahnya untuk kekalahan dahulu yang membuatkan MIC kini lebih sistematik dan kita belajar dengan UMNO untuk bergerak dengan lebih teratur,” ujarnya.

Katanya lagi, usaha parti itu dilihat mula membuahkan hasil apabila peratusan kaum India yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menunjukkan peningkatan lebih 25 peratus.

Mengulas lanjut mengenai pembahagian kerusi pada PRU-15, Vigneswaran berkata, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat BN tidak lama lagi. -MalaysiaGazette