BATU PAHAT: Seorang warga emas berusia 79 tahun dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kehilangan Painah Siwan daripada anaknya pada 11 malam Rabu lalu.
“Usaha pencarian awal telah dilakukan polis dari Balai Senggarang, keluarga dan penduduk kampung, tetapi warga emas itu masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diperluaskan melebihi parameter warga emas itu dilaporkan hilang.
Katanya, 187 pegawai dan anggota polis, termasuk dari Batalion 6 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi itu. – BERNAMA