TANJUNG MALIM – Zaman sekarang sudah berubah dan harga makanan pun mahal.
Namun, cakna dengan keperluan para atlet terhadap kenaikan harga makanan semasa itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menjemput sebuah kafe harga patut untuk beroperasi di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Keprihatinan tersebut sekali gus memberi peluang kepada para atlet Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) menikmati sajian makanan serendah RM1.70.
Dengan adanya Cape Cafe di KSAS, ia bagaikan pucuk dicita , ulam mendatang. Apalagi, ketika ini hampir 8,000 atlet dan pegawai suklan setiap kontinjen berkampung di UPSI untuk bertarung sempena SUKIPT 2022.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff , Cape Cafe tidak asing buat warga Tanjung Malim yang sudah terkenal dengan jualan hidangan berharga RM1.70 dan beroperasi di daerah tersebut sejak lima tahun lalu.
Sebagai universiti yang prihatin kepada warganya, langkah melantik Syarikat Capecafe Resources menjalankan perniagaan kafeteria di UPSI adalah amat bertepatan sebagai menyokong amanat Menteri Pengajian Tinggi memperkasa Aspirasi Keluarga Malaysia di IPT.
“Menariknya terdapat lebih 40 menu sajian makanan lengkap dengan minuman, snek dan pencuci mulut, bukan sahaja boleh dinikmati para kontinjen SUKIPT dan warga UPSI, sebaliknya orang ramai yang berkunjung ke bumi Muallim semasa temasya sukan ini berlangsung,” katanya.
Antara menu yang menjadi tumpuan yang dihidangkan ialah nasi lemak, nasi putih rendang ayam, nasi ayam penyet, nasi ikan talapia seekor, mi tomyam, bakso, chicken chop, kentang goreng, kek bronis aiskrim, ubi kayu sambal bilis serta pelbagai minuman panas dan sejuk disajikan dengan harga RM1.70 semuanya.
Menurut Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed inisiatif ini juga selaras usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan Food Basket Siswa Keluarga Malaysia yang dilancarkan sebagai inisiatif tambahan dengan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 per hidangan.
Beliau berkata bagaimanapun, menerusi pelan pemasaran Cape Cafe dilihat dapat menawarkan harga jauh lebih murah membuktikan masih ada lagi pengusaha makanan yang mampu menyahut saranan ini.
Pemilik dan pengusaha Cape Cafe Resources, Wan Hairul Azuwan Wan Hemat, 42, berkata, kesemua harga makanan, minuman, kudapan dan pencuci mulut masih menggunakan harga yang sama RM1.70 sejak memulakan operasi restoran 5 tahun lalu.
“Kisahnya begini, saya yang menetap di Lembah Kelang sering pulang ke kampung isteri, Kampung Gesir Tengah, Kuala Kubu Bharu bersempadan dengan Tanjung Malim merasakan purata harga makanan di sekitar daerah ini agak tinggi jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur,
“Dengan kepadatan warga pelajar dari UPSI, Politeknik Sultan Azlan Shah, Giatmara Tanjung Malim dan beberapa pusat pengajian swasta di daerah Muallim, saya rasa mungkin dengan mengusahakan kafe harga berpatutan di Taman Anggerik, Tanjung Malim dapat membantu anak-anak kita yang sedang melanjutkan pengajian di sini,” jelasnya ketika ditemui.
Menyambut hasrat universiti, Cape Cafe yang memulakan operasi di Arena Pusat Sukan Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City diserbu pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
Pengunjung Zullaili Harun, 55, yang menziarah anaknya ke UPSI sangat gembira dengan adanya kafe harga yang sangat berpatutan ini.
“Saya dah cuba makan, Alhamdulillah rasanya sedap dan amat berpatutan serta wajar mendapat sokongan dan dapat jimat belanja,” jelasnya ditemui.
Wakil kontinjen Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zikrul Muhd Zahid,32, yang turut menikmati menu RM1.70 di Cape Cafe juga berpuashati dengan menu yang ditawarkan.
“Saya tidak sangka ada kafe jual makanan murah dengan harga RM1.70 dan ia wajar diusahakan di kampus-kampus seluruh negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette