Tong Keong (tengah) pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa polis menjalankan siasatan segera berhubung isu pencerobohan dan ketirisan data pada sistem iPay88 baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ia bagi memastikan tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terbabit sekali gus memastikan tiada kecurian data peribadi berlaku lagi.

Jelas beliau, iPay88 merupakan gerbang pembayaran yang biasa digunakan oleh warganegara negara ini dan insiden pencerobohan dan ketirisan data peribadi ini telah membimbangkan pengguna, mereka risau akan keselamatan kewangan mereka.

“Kes pencerobohan dan ketirisan data peribadi kerap berlaku dan ini secara tidak langsung  menunjukkan jabatan-jabatan kerajaan tidak mengambil serius dalam melindungi data peribadi.

“Sebelum ini, berlaku kes kebocoran data peribadi awam di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lebih mengejutkan data-data itu boleh didapati dan dibeli secara online.

“Tidak cukup itu, Menteri Dalam Negeri turut dicabar bahawa data peribadinya turut akan dijual. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil ke atas pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan berlaku kecurian data menerusi iPay88.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak kerajaan telah memulakan siasatan berhubung pelanggaran keselamatan siber melalui iPay88.

Sementara itu, iPay88 mengakui berlakunya pencerobohan pada sistem mereka dan ada maklumat kad pengguna terdedah.

Syarikat itu turut menyatakan bahawa masalah pencerobohan ini dikesan berlaku sudah lama dan siasatan dmulakan pada 31 Mei lalu dengan bantuan pakar keselamatan siber. – MalaysiaGazette