Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menjadi bahan lawak’dalam media sosial ekoran kesilapannya mentafsirkan istilah fire control system (FCS) sebagai ‘sistem kawalan api’.

Kesilapan itu berlaku dalam kenyataan media Rafizi berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) pada 11 Ogos lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, FCS sebenarnya merujuk kepada ‘sistem kawalan senjata’.

“Bila saya baca dia punya hantaran Facebook itu, saya nak tergelak. Tapi, tak apa, saya biar dulu. Biar dia punya puak-puak seronok dulu.

“Tapi saya nak cakap… Rafizi, LCS tu fire control system bukan ‘sistem kawalan api’. Saya pernah naik kapal perang, FCS tu sebenarnya ‘sistem kawalan senjata’,” katanya dalam dialog bersama pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Persatuan-persatuan Masyarakat India Malaysia (GAPPIN) malam tadi.

Beliau berkongsi rakaman video sesi dialog berhubung isu LCS itu dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Rafizi LCS
Tangkap layar sejarah suntingan hantaran Facebook Rafizi Ramli berhubung isu LCS pada 11 Ogos 2022.

Semakan MalaysiaGazette mendapati kesilapan itu berlaku pada hantaran pertama kenyataan media Rafizi pada 11 Ogos pukul 2.20 petang.

Kesilapan itu masih lagi berulang dalam hantaran yang disunting pada pukul 2.21 petang dan akhirnya diubah kepada ‘sistem kawalan tembakan’ dalam suntingan yang dibuat pada pukul 2.59 petang.

Dalam perkembangan sama, Isham mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak mendedahkan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam projek LCS semasa mereka memerintah dahulu.

Beliau memberitahu, PH menyatakan audit forensik terhadap projek tersebut telah dilakukan pada 2018 dan 2019.

“Kalau awak buat audit forensik, kalau ada penyelewengan mengapa awak tak cakap masa tu? Kenapa pula awak yang rasmi dan kata bangga projek lcs ni?” soalnya.

Isham turut menempelak PH berikutan gesaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan membatalkan fasa keenam projek LCS.

“Anwar kata kena batalkan projek sebab dah belanja RM6 bilion. Kenapa hari itu, Mat Sabu tak batalkan?” soalnya merujuk kepada bekas Menteri Pertahanan era PH, Mohamad Sabu. – MalaysiaGazette