MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Johor state election
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kapal tempur pesisir (LCS) masih belum wujud.

Bekas anggota Kabinet ketika Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan itu berkata, LCS sepatutnya telah ‘wujud’ di laut pada 2019.

“Memang tak wujud pun. Patutnya tahun 2019, patut wujud di laut dah. Ini masih di dock lagi.

“Kalau tidak, tak adanya saya nak cakap contract progress dalam 25% dekat video,” ciap Syed Saddiq di Twitter.

Presiden MUDA itu membalas hantaran seorang pengguna Twitter Malaysia Check & Balance yang mendakwa beliau menipu kerana menuduh LCS masih tidak wujud.

Pengguna tersebut mendesak supaya Syed Saddiq memohon maaf kepada rakyat kerana membuat pembohongan tanpa rasa bersalah.

Pengguna Twitter itu turut berkongsi keratan layar TikTok Syed Saddiq yang menuduh LCS tidak wujud.

“Tak lama dahulu, @SyedSaddiq kata kapal LCS tak wujud pun. Sekarang, Saddiq eat his own words dengan share video kapal LCS sebenarnya wujud.

“Ahli politik masih muda tapi sudah tipu rakyat terang-terangan tanpa rasa bersalah? Minta maaf pun tidak,” katanya.

Keratan layar TikTok Syed Saddiq.

Dua hari lalu syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membawa lebih 40 media ke lokasi pembinaan LCS tersebut untuk membuktikan bahawa kapal itu wujud dan sedang dibina.

Lima kapal tempur pesisir yang sedang dalam pembinaan sudah mencapai perkembangan antara 22 hingga 60 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif BNS Ir Azhar Jumaat, berkata, perkembangan itu berbeza dengan apa yang dilaporkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana laporan itu berdasarkan maklumat pada November 2020.

Azhar menjelaskan, kebanyakan peralatan kapal pertama sudah dipasang kecuali beberapa kelengkapan lain membabitkan elektronik kerana bimbang ia mungkin terkesan akibat cuaca panas jika dipasang awal.

Katanya, kapal kedua dan seterusnya kini dalam proses pemasangan peralatan serta kelengkapan diperlukan.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang mendakwa projek LCS adalah halimunan walaupun sudah lebih RM6 bilion dibelanjakan.

Bagaimanapun pemimpin kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa pembekuan projek itu ketika negara pentabiran Pakatan Harapan pada 2018 hingga 2020 telah menyebabkan LCS tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast