PUTRAJAYA – Permohonan Datuk Seri Najib Razak mengemukakan permohonan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan hari ini bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta sebenarnya bukan bukti baharu.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V. Sithambaram berkata, ini kerana perkara itu pernah ditimbulkan pihak pembelaan dalam prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
“Sudah tentu kami fikir ia tidak ada di mana yang baru, kami mengatakan bukti ini tidak baharu, sudah (timbulkan) di hadapan Mahkamah (Rayuan) dan Mahkamah Tinggi.
“Ia bukan baharu, tidak ada yang baharu dalam permohonan bukti baharu ini,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Najib melalui Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh mengemukakan permohonan untuk memasukkan bukti baharu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya.
Ia kerana wujudnya konflik kepentingan dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC Sdn Bhd melibatkan peranan hakim perbicaraan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank.
Ketika ditanya tentang kewujudan bukti baharu boleh mengubah keputusan kes itu, Sithambaram berkata, pihak pendakwaan tidak akan mencampuri urusan panel lima hakim untuk menentukan permohonan Najib.
“(Permohonan) bukti baharu itu akan dipertimbangkan (hakim). Sehingga (selagi tidak diputuskan), pihaknya tidak boleh memberi sebarang kemungkinan.
“Para hakim akan mempertimbangkan permohonan kedua-dua pihak, saya bukan orangnya untuk menjawab persoalan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette