Rahimah Tompang

MELAKA – Setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan sejak 21 tahun lalu warga emas yang juga seorang ibu tunggal, Rahimah Tompang, 68, tidak pernah lupa untuk ‘berkorban’ untuk menghiasi rumah tradisionalnya demi menghayati erti kemerdekaan.

Ibu kepada 14 anak ini juga akan memastikan rumahnya dalam keadaan ceria walaupun terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM5,000 supaya kediaman berusia lebih 105 tahun itu terus mengharumkan nama Melaka di seluruh dunia.

Namun, di sebalik pengorbanannya itu, terpalit rasa kecewa yang amat mendalam kerana selama itu, tiada satu pun bantuan atau geran diterima daripada kerajaan sebagai perhargaan terhadap usahanya.

Apatah lagi, kini rumah yang dicanang-canang kepada ribuan pelancong dari seluruh dunia itu kini hanya menunggu masa rebah ke bumi akibat dimakan anai-anai.

“Saya sedih, selama 21 tahun saya naikkan nama Melaka tapi orang (kerajaan) tak mahu tolong saya. Dah banyak kali saya minta peruntukan, semua tak dapat sampai rumah saya dah nak roboh kena makan anai-anai.

“Kenapa tak nak tolong mak cik? Sampai hati mereka buat mak cik macam ini sedangkan bila pelancong datang Melaka, mereka (agensi kerajaan) semua suruh pelancong datang sini tapi satu geran atau penghargaan pun mak cik tak dapat,” katanya sebak ketika ditemui Malaysia Gazette di rumahnya di Kampung Pengkalan Batu, di sini hari ini.

Rahimah sedih melihat kerosakan rumah tradisonalnya berusia lebih 105 tahun yang rosak akibat dimakan anai-anai di Kampung Pengkalan Batu, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut Rahimah berkata, dia tidak pernah meminta kerajaan membayar semula segala apa yang telah dibelanjakan selama ini, namun sekurang-kurangnya membantunya membaik pulih rumah tradisional itu yang sudah banyak mengharumkan nama Melaka.

“Selama ini, memang mak cik ikhlas dan suka bila ramai pelancong datang ke rumah mak cik, tapi bila rumah sudah rosak dimakan anai-anai, mak cik sedih kerana orang kerajaan hanya datang menaburkan janji kosong.

“Kerajaan selalu cakap mengenai pengorbanan, erti kemerdekaan, tapi apa pula pengorbanan mereka terhadap rakyat yang menghayati kemerdekaan dan menyumbang kepada kerajaan?

“Sudah tiga ketua menteri bertukar, namun agensi kerajaan sama cuma datang melawat, minta laporan dan lepas tu sepi tanpa berita membuatkan mak cik benar-benar sedih,” katanya disertai tangisan.

Rahimah akan memastikan rumahnya dalam keadaan ceria walaupun terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM5,000 sebagai hiasan Bulan Merdeka pada setiap tahun untuk memastikan rumah tradisional berusia lebih 105 tahun itu terus mengharumkan nama Melaka di seluruh dunia.

Tambahnya, satu-satunya penghargaan dan anugerah terbesar yang dimenangi adalah katanya ‘Malay Culture Preservation Enthusiast Hero Melaka’ oleh kerajaan China pada 2018.

“Itu pun, semua wang anugerah itu berjumlah RM45,000 habis dibelanjakan untuk mencantikkan rumah bagi menggamit lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Harapan mak cik cuma satu, agar semangat dan erti kemerdekaan ini dapat terus dihayati di rumah tradisional ini dan semoga ianya tidak roboh sebelum mak cik ‘menutup mata’,” katanya.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast