PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengarahkan agensi di bawah kementeriannya membuat laporan berhubung kemunculan semula iklan dan tawaran Haji Furada bagi musim haji tahun hadapan.
Beliau berkata, tindakan susulan bakal dikenakan kepada agensi pelancongan terlibat dilihat terus mengkhianati kepercayaan yang diberi kerajaan Arab Saudi dalam urusan rukun Islam kelima itu.
“Tadi saya dimaklumkan untuk haji tahun depan pun sudah ada keluar (iklan) dan saya suruh (Man), kita akan buat laporan dan tindakan susulan
“Sudah ada keluar tawaran-tawaran kena bayar dia kata terhad untuk 20 orang, dia masuk 10 nama dalam WhatsApp grup
“Dari segi pemasaran dia agak bijak, itu pun ada orang percaya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Idris tidak menolak kemungkinan orang ramai yang tertipu dengan tawaran itu kerana beranggapan agensi pelancongan terbabit benar-benar mahu membantu mereka mengerjakan ibadah haji.
“Saya yakin dan percaya orang nak pergi beribadah ini, mereka anggap orang yang nak bawa pergi umrah ini juga orang baik-baik.
“Ini yang menyebabkan mereka itu tertipu.
“Bagi saya ini sikap biadap, menipu orang nak pergi ibadah haji, merosakkan satu institusi perniagaan, menyebabkan orang lain terpalit,” katanya. – MalaysiaGazette