Christopher Patit

MELAKA – Tindakan pantas seorang anak menghubungi pihak bank untuk menyekat transaksi akaun bank bapanya selepas disyaki menjadi mangsa penipuan berjaya menyelamatkan simpanan RM30,000 milik warga emas itu dilarikan penjenayah.

Anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Syafik, 30, berkata, dia dihubungi ibunya pada jam 10.39 pagi semalam memaklumkan bapanya dibawa keluar dari rumahnya di Kampung Paya Dalam, dekat sini, oleh seorang lelaki tidak kenali digelar ‘Jamaludin’.

Menurutnya, sebelum itu pada Jumaat lalu ayahnya berusia 82 tahun ada memaklumkan dikunjungi lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat telekomunikasi untuk projek memasang menara telekomunikasi di belakang rumah mereka.

“Lelaki itu menyatakan syarikatnya berminat untuk menyewa tanah ayah seluas kira-kira tiga ekar (1.2 hektar) di belakang rumah bagi projek menara berkenaan.

“Katanya, dia mahu meletakkan peralatan untuk penyelenggaraan menara berkenaan di atas tanah ayah sebelum memberikan nombor telefon bimbitnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambahnya, lelaki itu datang semula pagi semalam dan berjumpa dengan ibunya sambil memberi alasan kononnya dia telah memberikan kebenaran untuk membawa ayahnya keluar bagi urusan bank dan sewaan tanah.

Menurut Syafik, bimbang sesuatu yang buruk berlaku dan mengesyaki ia perbuatan sindiket penipuan, dia segera keluar mencari di beberapa cawangan bank termasuk CIMB Bank di Bukit Baru dan di Bandar Hilir namun gagal.

“Pada masa sama, saya juga menghubungi pegawai bank dan minta mereka menyekat sebarang transaksi pengeluaran wang dari dua akaun milik ayah.

“Selepas hampir tiga jam iaitu kira-kira jam 1 tengah hari semalam ayah balik ke rumah dengan teksi selepas ditinggalkan tiga lelaki yang membawanya ke bank untuk keluarkan RM30,000 namun gagal kerana akaun disekat,” tambahnya.

Jelasnya, selepas ditanya, bapanya juga memaklumkan dia seperti kebingungan dan tidak ingat ke mana dia dibawa.

“Semasa kejadian, tiga lelaki terbabit juga mengarahkan bapanya memberitahu pegawai bank pengeluaran wang bertujuan untuk ubah suai rumah.

“Malah buku akaun bank dan Tabung Haji ayah turut diambil dipercayai untuk salinan sebelum dikembalikan kepada ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christoper Patit ketika dihubungi mengesahkan ada menerima dua laporan dibuat anak mangsa berkaitan kes itu di Balai Polis Tiang Dua dan di Balai Polis Banda Hilir.

Kejadian itu turut tular di media sosial semalam apabila pihak keluarga meminta orang ramai membantu mengesan warga emas itu selepas didakwa keluar bersama dua individu yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette