Petugas dari pelbagai kaum bergambar sambil memakai pakaian tradisional untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64 dengan memakai pakai Kebangsaan bertemakan kemerdekaan ketika di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Taman Bangi Avenue, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2021.

MUSLIM percaya bahawa Allah telah mengumpulkan seluruh manusia suatu ketika dahulu dalam bentuk roh di hadapanNya. Pada saat itu, semua manusia ditanya tentang kesaksian mereka pada ketuhanan Allah, maka mereka mengaku bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan mereka. (Surah al-A’raaf: 172) Pengakuan itu menuntutnya melakukan beberapa tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi dan memastikannya dapat diduduki secara aman bersama-sama. Hakikat ketuhanan dan konsep sebagai khalifah yang diimani sebenarnya membentuk
peranan bagi berinteraksi dan menyantuni orang lain dengan baik.

Muslim dan kepelbagaian kaum

Ini bermaksud bahawa Muslim tidak wajar bertindak sebagai spesis sosial terasing, yang cuma bergaul sesama masyarakatnya sahaja. Bahkan, pergaulan dan santunannya harus meluas kepada seluruh anggota masyarakat berbilang agama dan kaum. Sifat mulia, baik hati, ramah-tamah, hormat menghormati dan bertimbang rasa adalah anjuran Islam terhadap seluruh manusia yang menjadi anggota masyarakat tanpa mengira
bangsa, keturunan, kewarganegaraan, rupa paras, latar belakang sosial, ekonomi, kerjaya atau apa juga faktor.

Ini kerana setiap manusia mempunyai jiwa, nyawa dan jasad yang dimuliakan Allah mengatasi makhluk lain yang dicipta-Nya. Dasar kemuliaan jiwa dan badan menjadi asas kepada Fiqh al-Ta’ayush atau sains kefahaman berkenaan seni kehidupan bersama. Ajaran Islam yang sangat sesuai dengan fitrah insan menganjurkan beberapa perkara penting supaya interaksi manusia sebagai anggota masyarakat menjadi berkesan.

Untuk berkenalan

Pertama, Islam mengajar supaya manusia yang dicipta dalam jantina berbeza, kepelbagaian bangsa dan puak memecahkan rasa canggung di antara mereka dengan cuba untuk berkenalan antara satu sama lain:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain)…” (Surah al-Hujurat: 13)

Penganjuran untuk berkenalan disebut dalam ayat di atas dalam perkataan bahasa Arab ta’arafu yang memberi makna saling melakukan. Ini bermaksud, proses perkenalan itu harus dilakukan secara bersama oleh kedua-dua pihak atau semua pihak yang terlibat. Ini sangat penting dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Dalam ambang merdeka ini, perlu disebutkan bahawa walaupun masyarakat Malaysia telah hidup secara majmuk sekian lama, proses berkenalan masih perlu saling diteruskan. Ini kerana kaum majoriti sering berasa selesa dengan keadaan mereka sehingga kurang peka dengan sebahagian keperluan kaum minoriti yang lain.

Contohnya, masyarakat Melayu Muslim telah lama berjiran dengan agama dan kaum berbeza, namun semasa majlis keramaian anjurannya yang melibatkan jiran penganut agama lain, ada ketikanya mereka kurang sensitif dengan pantang larang dalam pemakanan. Ini mengakibatkan mereka memilih menu makanan utama yang dilarang oleh agama lain tanpa menu alternatif. Perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun bagaimana jika perkara yang sama diperlakukan terhadap kaum majoriti?

Dalam masa yang sama, masih terdapat isu yang lantang disebut oleh sebahagian kaum Cina atau India bukan Muslim terhadap kaum Melayu dan agama Islam. Ini juga merupakan ruang sensitif yang jika tidak dikendalikan dengan adab sopan dan berbudi bahasa, akan mencetuskan kemarahan kaum Melayu Muslim. Sayugialah proses berkenalan saling diteruskan oleh kedua-dua belah pihak agar mereka dapat saling belajar tentang perbezaan, identiti, pengalaman, nilai, pandangan alam dan cara hidup yang berbeza.

Hormat, kasih sayang

Anjuran Islam yang kedua dalam hubungan sosial adalah supaya ahli masyarakat dapat sentiasa hormat-menghormati dan kasih-mengasihani di antara satu sama lain. Ini disabdakan dalam hadith Nabi SAW:
“Bukanlah daripada golongan kami sesiapa yang tidak merahmati orang kecil kami dan tidak menghormati orang tua kami.” (Sunan Tirmizi, Kitab Isti’zan, No. hadis 2701) .Hadis di atas diucapkan merangkumi skop perbezaan umur yang kadangkala menjadi faktor diskriminasi atau kebiadaban sesama manusia. Ia mengingatkan pada potensi segenap umur manusia yang perlu pada perhatian tertentu kerana di setiap perbezaan umur, terdapat potensi istimewa.

Baik dengan jiran

Ketiga, mengambil berat dan membuat kebajikan terhadap jiran tetangga. Hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Jibril senantiasa berwasiat kepadaku agar berbuat baik kepada tetangga sampai saya mengira bahawa dia (Jibril) hendak memberikan warisan kepadanya”. (HR Bukhari dan Muslim). Hubungan baik di antara jiran tetangga sangat dituntut dalam Islam kerana merekalah yang
paling rapat secara keberadaan fizikal dengan seseorang. Oleh itu, apa sahaja perbuatan yang dapat mengeratkan hubungan jiran perlu dilakukan.

Antara perbuatan baik yang dapat dipupuk ialah saling tidak mengelak bertemu mata dengan jiran tetangga. Dengan langkah pertama ini, barulah perbuatan lain seperti memberi salam bila bertemu, bertanya khabar, memberi hadiah, membantu bila diperlukan, serta saling mengunjungi dapat dilakukan.

Sebagai manusia yang terdekat dengan jiran, sudah tentulah seseorang itu lebih menyedari suatu keaiban atau kelemahan jirannya sebelum orang lain mengetahuinya. Maka, sebahagian daripada akhlak yang dianjurkan oleh Islam ialah supaya menutup keaiban tersebut. Jika terdapat kesalahan yang dilakukan oleh jiran, Islam menganjurkan supaya memberikan kemaafan.

Dalam masa yang sama, penekanan tetap diberikan supaya tidak sama sekali menyakiti hati jiran, lebih-lebih lagi menurut sabda Nabi SAW:
“Muslim itu adalah seseorang yang orang lain berasa selamat daripada lidah dan tangannya, dan mukmin itu adalah seseorang yang menjamin keamanan darah dan harta orang lain”. (HR An-Nasai, No. hadis 5010)

Kejiranan merupakan salah satu fabrik masyarakat yang sangat utama. Penekanan Islam pada aspek kejiranan mampu mewujud dan menyemai keamanan pada peringkat paling asas dalam pembinaan masyarakat.

Jaga etika sosial

Keempat, selain daripada langkah-langkah di atas, al-Quran juga menyebut tentang etika sosial yang lain iaitu tidak mencemuh orang lain, tidak memanggil dengan gelaran yang negatif, tidak berprasangka, tidak mengintip kesalahan orang dan tidak mengumpat. (Surah al-Hujurat: 11-12)  Jika etika sosial di atas ini diamalkan dengan baik oleh setiap orang, maka konflik dalam masyarakat dapat diurus dengan lebih terhormat.

Amar makruf nahi munkar

Kelima, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini merupakan tugas asasi Muslim yang menyedari tanggungjawab dakwah. Mereka perlu terlebih dahulu proaktif dalam membentuk suasana yang aman diduduki bersama-sama, planet dan alam sekitar yang terjaga dengan baik secara mapan. Mereka juga harus berani beradvokasi dalam menentang segala bentuk penyelewengan, korupsi, ketirisan, pengkhianatan dan kezaliman. Mereka mengajak manusia lain menjaga keberlangsungan insan supaya kembali kepada fitrah.

Berlaku adil

Keenam, sebagai saksi kebenaran kepada seluruh umat ini (Surah al-Baqarah: 143), Muslim harus berlaku adil kepada semua manusia dan menjaga integriti tersebut sentiasa.

Hak-hak sekalian ahli masyarakat sama ada Muslim atau bukan Muslim perlu diberikan secara saksama tanpa penindasan. Susuk Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin masyarakat majmuk di Madinah adalah suatu contoh terbaik. Dalam Piagam Madinah, baginda telah mengagihkan hak-hak penghuni Madinah serta tanggungjawab mereka dalam menjaga keamanan Madinah dan menjaga satu sama lain.

Sebagai rumusan, kerana Muslim tertakluk dengan perjanjian pada Allah, mereka perlu terlebih dulu menyerlahkan sifat-sifat mulia sebagai ejen keamanan pada umat manusia. Muslim bukan ejen pemecah belah, namun sebaliknya adalah ejen penyatuan. Adalah mustahil mereka dapat melunaskan tanggungjawab sebagai saksi kepada kebenaran ajaran Islam sekiranya peribadi mereka jauh daripada akhlak seorang pendamai.
“Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama”

Dr Alwani Ghazali
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya