PUTRAJAYA – Isu 20,000 hingga 30,000 jemaah umrah terkandas ke Mekah adalah di luar bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, isu itu timbul kerana ada jemaah umrah memilih untuk pergi menunaikan ibadah itu dengan menggunakan visa pelancongan dan bukannya menggunakan khidmat pengendali umrah.

”Kita mempunyai terma dan syarat sendiri bersama dengan syarikat pengendali umrah tempatan. Sejak beberapa tahun lalu, Arab Saudi membenarkan penggunaan visa pelancongan untuk menunaikan umrah.

“Sebab itu ada yang telah pergi sendiri sebagai pelancong, selepas itu pergi menunaikan umrah yang mana ia adalah luar pengetahuan kita (MOTAC)” kata beliau selepas melakukan ‘flag-off’ 10,000 Langkah Semangat Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat MOTAC, hari ini.

Jelas Nancy, MOTAC boleh memantau pergerakan umrah jika jemaah  menggunakan khidmat syarikat umrah.

Ia termasuk mengesan syarikat yang terlibat jika berlakunya sebarang insiden termasuk unsur penipuan umrah yang semakin berleluasa.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 20,000 hingga 30,000 bakal jemaah umrah yang sepatutnya berlepas ke Tanah Suci bulan ini, terpaksa menangguh perjalanan masing-masing berikutan jumlah penerbangan harian ke Arab Saudi ketika ini menyusut dengan ketara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, masalah itu berlaku kerana permintaan semasa (tunai ibadat umrah) melebihi penerbangan harian yang beroperasi sekitar sembilan hingga 10 penerbangan sehari, termasuk penerbangan tambahan.

“Bayangkan sebelum ini permintaan sekitar 20,000 sebulan, sekarang mungkin sekitar 60,000,” katanya. -MalaysiaGazette