Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) dan Ahmad Fadhil Shaari

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil untuk parti Pas kembali kepangkuan PKR dan DAP kerana ketiga-tiga parti itu pernah melakukan kerjasama dalam Pakatan Rakyat untuk mengalahkan UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhil Shaari yang meminta supaya penyokong PKR dan DAP mengundi parti itu pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, berdasarkan rekod bagaimana parti itu meninggalkan UMNO untuk bekerjasama dengan Bersatu maka adalah tidak mustahil untuk Pas kembali bersama dengan DAP dan PKR.

“Untuk Pas kembali kepada PKR-DAP bukanlah satu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam Pakatan Rakyat atas matlamat yang serupa dengan saranan KP Pas hari ini demi semata-mata untuk mengalahkan UMNO.

“Kalau Pas boleh meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional untuk bersama dengan PPBM membentuk Parti Perikatan Nasional, tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan pasangan baharu.

“Itulah seni politik. Seni yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah. Seni yang jika agama dikesampingkan matlamat boleh menghalalkan cara,” sindir Asyraf Wajdi.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad Fadhil itu seterusnya mengundang persoalan sama ada padangan Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin mengenai kerjasama dengan UMNO adalah satu sandiwara sahaja.

Ini berikutan, Hashim berkata, Pas masih membuka pintu rundingan untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) demi perpaduan ummah biarpun Barisan Nasional (BN) sudah memuktamadkan untuk bergerak solo.

“Apabila Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli bin Shaari bersungguh-sungguh mengajak DAP-PKR PH menjatuhkan Kerajaan UMNO di Pahang, apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am Pas Ustaz Hashim Jassin kelmarin untuk mencari jalan menyelamatkan hubungan dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional hanyalah sandiwara semata-mata?” tanya Asyraf Wajdi.

Ahmad Fadhil dalam media sosialnya berharap supaya penyokong PKR dan DAP di Pahang untuk memberikan undi kepada Pas.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu Pas berpotensi untuk menguasai Pahang jika pengundi-pengundi PKR dan DAP memberikan sokongan untuk menewaskan UMNO di negeri itu.

“Ambil contoh DUN Pulau Tawar di mana PAS hanya kalah dengan majoriti 587 undi sahaja di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1973. Pengundi-pengundi PKR dan PH di kerusi ini perlu berfikir sejenak betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO/BN.

“Senario itu sebagai contoh sahaja, dan ia berlaku juga di beberapa DUN yang lain, misalnya DUN Tioman di mana calon PAS mendapat undi sebanyak 5382 dan tewas dengan majoriti 1280 di tangan calon BN/UMNO, sedangkan calon PKR di DUN tersebut mendapat 3029 undi.

“Alangkah baiknya jika pengundi-pengundi PH/PKR dalam pilihanraya yang lepas dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihanraya kali ini demi merubah kepimpinan kerajaan negeri Pahang,” kata Ahmad Fadhil.

Menurutnya, jika penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya untuk merubah kepimpinan negeri Pahang maka Pas ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast