KUALA LUMPUR – “Adakalanya kita lupa bahawa Allah SWT pelindung dan penolong hambanya.”
Kata-kata itu diungkap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini berada pada peringkat akhir rayuan kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Bagi mencari kekuatan berhadapan segala pertuduhan yang dilemparkannya, Najib seolah-olah menemui sinar yang dikirimkan tuhan melalui cucunya, Adam.
Najib berkata, Adam adalah kekuatannya ketika nasibnya bakal ditentukan pada sambungan perbincaraan buat kali terakhir yang akan bersambung esok.
“Di saat mencari ketenangan dan sumber kekuatan. Adakalanya kita lupa akan aturan Allah SWT, kebahagiaan tidak jauh sentiasa ada di sisi.
“Betapa perit dan pahitnya di kegelapan ini, mencari sinar di waktu pagi. Dipimpin tangan cucu. Dibisiknya. “Love you grandpa, always“.
“Pelukannya. Suaranya. Kata-katanya. Adam is my superhero today. And forever. Sumber kekuatan saya. Biar pun kecil tidak bermaya, dalam genggaman erat kerana ia sahaja yang ada,” katanya.
Najib turut berkongsi foto Adam yang berpakaian adiwira Power Rangers Merah.
Kanak-kanak kecil itu yang merupakan anak Ashman meraikan hari jadinya hari ini.
“Hari ini birthday Adam dan juga anak saya Ashman. Happy birthday Adam, happy birthday Ashman and may Allah SWT bless you always,” kata Najib.
Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat turut sebulat suara menolak permohonan pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan pendengaran permohonan utama kes SRC International.
Tengku Maimun dalam penghakimannya berkata, pihak terlibat sebelum ini sudah maklum bahawa tarikh pendengaran ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya telah membuat segala persiapan.
Dia bagaimanapun membenarkan pendengaran permohonan itu ditangguh esok.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette