Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau dan membuat audit kualiti perkhidmatan capaian internet yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada audit tersebut didapati masih terdapat sesetengah tempat merekodkan kualiti kurang baik.

Katanya, sebanyak 94 Notis Pematuhan dan tiga Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar dan menyediakan pengalaman yang baik kepada pengguna.

“Kerajaan amat mementingkan tahap kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna dan saya telah mengarahkan SKMM supaya memantau dan membuat audit kualiti perkhidmatan capaian internet yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di sini hari ini.

Mesyuarat diadakan bagi mendapatkan laporan terkini mengenai perkembangan pelaksanaan JENDELA seperti peningkatan kualiti kesalinghubungan internet di kawasan luar bandar dan terpencil, pembangunan infrastruktur digital dan isu berkaitan kualiti perkhidmatan jalur lebar serta jalan penyelesaian yang akan memberikan pengalaman digital yang lebih baik kepada rakyat.

Menurut Annuar, berdasarkan taklimat Jawatankuasa Pemandu tersebut, pelaksanaan JENDELA suku kedua bagi tahun 2022 menunjukkan hasil memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penuh Fasa 1 JENDELA.

Kata beliau, pencapaian paling ketara adalah jumlah premis yang dilengkapi dengan rangkaian gentian optik sejak bermulanya pelaksanaan pelan JENDELA.

“Dalam pada itu, saya amat mengalakkan orang ramai untuk memanfaatkan infrastruktur ini dan melanggan perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi supaya dapat menikmati pengalaman internet yang baik dalam menjalani urusan harian terutama semasa berada dalam premis kediaman atau pejabat.

“Selain itu, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 28 Jun lalu juga telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos, Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata, dalam memastikan jaringan dan liputan jalur lebar diperluaskan dengan baik, K-KOMM telah memulakan pelaksanaan projek Point-of-Presence (POP) fasa pertama yang menyasarkan 677 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran POP di sekolah dan kawasan perindustrian menjelang penghujung tahun ini.

Kerajaan juga, katanya, amat prihatin terhadap golongan pelajar dari kalangan B40 dan berharap inisiatif Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang dilaksanakan itu akan dimanfaatkan sebaiknya.

“Baru-baru ini, sebanyak 100,000 permohonan bagi fasa pertama pakej ini telah diterima, manakala permohonan bagi fasa kedua telah dibuka pada 1 Ogos lalu.

“Saya sarankan supaya syarikat telekomunikasi mengambil tindakan lebih proaktif dalam memastikan perkhidmatan liputan jalur lebar berkualiti dapat disediakan kepada seluruh rakyat.

“Orang ramai boleh menyemak liputan rangkaian di kawasan mereka dan menghantar maklum balas melalui pautan JENDELA Map https://jendela.my atau melalui aplikasi mudah alih Jendela Map yang boleh dimuat turun di Apple Appstore atau Google Play,” ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited terhadap kemajuan liputan dan kualiti perkhidmatan kesalinghubungan dalam negara dan mengalakkan semua pihak termasuk kerajaan negeri, agensi dan syarikat swasta melaksanakan inisiatif yang memberikan kualiti pengalaman komunikasi yang baik kepada rakyat.

“Mereka juga harus memastikan sasaran pelaksanaan JENDELA dapat dicapai seperti yang dirancang, sekali gus akan menyokong semua usaha pendigital oleh Kerajaan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette