Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada rakyat dan semua ahli BN supaya menunjukkan solidariti terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Presiden UMNO itu berkata, keputusan mahkamah melibatkan kes Najib tidak menghalang rakyat, ahli dan pemimpin parti untuk terus bersama dengan perjuangan beliau dalam parti dan kes yang sedang beliau hadapi.

Ahmad Zahid berkata, bekas Perdana Menteri itu kini berdepan cabaran sukar dalam rayuan terhadap kes SRC International.

“Memang keadilan itu suatu perjalanan yang panjang. Malah terdapat ungkapan bahawa there are three types of truth. Your truth, my truth and the truth. Truth Is God’s Word.

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Zahid, terlalu banyak jasa dan sumbangan yang Najib berikan kepada UMNO, BN dan kerajaan yang tidak dapat dilupuskan dalam sejarah negara.

Malah melalui media sosial, Najib juga berjaya menjawap serangan pembangkang dan musuh dalam selimut dengan data dan fakta.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berkampung semasa pilihan raya negeri Sabah, Melaka dan Johor dan telah berkempen membantu kemenangan UMNO dan BN.

“Inilah Najib Razak yang kita hormati memperjuangkan UMNO. Perlu diakui media sosial FB Najib sangat berpengaruh di negara ini.

“Beliau ialah raja media sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.

“Insya-Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama DS Najib dan susah senang bersama. Kita bukan kacang lupakan kulit. Itulah persahabatan dan perjuangan sejati kita dalam UMNO,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan kes SRC International turut ditolak.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata, rayuan mesti diteruskan mengikut jadual.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast