Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memohon maaf sekiranya penggunaan perkataan pengkhianat dan rasuah dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) menyebabkan ada pihak yang terguris perasaan.

Ahmad Fadhli secara sinis berkata, beliau akan menggunakan perkataan lain dalam isu berkenaan seperti perompak dan korup bagi mengelak ada pihak yang terasa.

“Cuma barangkali pemilihan perkataan seperti pengkhianat , rasuah dan lain-lain itu menyebabkan ada pihak yang terasa, justeru saya mohon maaf.

Insya-Allah selepas ini saya tukar kepada lain-lain perkataan yang saya harapkan tiada pihak yang terasa.

“Barangkali perkataan perompak, korup dan sebagainya tiada yang terasa. Atau jika ada senarai perkataan yang tidak boleh digunakan, mohon kepilkan,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Malaysia Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri yang mendesak ahli politik yang berniat memfitnah dan menghasut rakyat supaya meminta maaf.

Ahmad Fadhli dalam pada itu menegaskan, beliau tidak pernah menyebut nama mana-mana pemimpin dalam isu LCS.

“Saya melihat poster ini, menuntut saya mohon maaf kerana memainkan sentimen kononnya wujud rasuah beberapa pemimpin UMNO.

“Sukalah saya ingatkan bahawa sejak tahun 2019 lagi saya bangkitkan isu LCS ini tanpa menyebut nama mana-mana parti dan mana-mana pemimpin. Mohon buktikan jika ada.

“Apa yang saya sebut ialah siasatan yang adil, telus dan bawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan. Saya tidak ada kaitan dengan pendedahan pihak-pihak lain selain dari PAC yang saya sebagai salah seorang anggotanya,” katanya.

Sebelum itu Syed Mohd. Johan Rizal dalam kenyataannya berkata, fitnah telah bermaharajalela dan pembangkang menggunakan isu LCS untuk memainkan sentimen kononnya wujud rasuah beberapa pemimpin UMNO.- MalaysiaGazette