AA.Anbalagan Arumugam menunjukkan rampasan syabu seberat 27 kilogram bernilai RM1.207 juta dalam dua serbuan asing di hotel Puchong dan Kondominium di Kepong pada 10 Ogos lalu.

SERDANG – Sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu secara aktif di sekitar Lembah Klang akhirnya tumpas di tangan polis baru-baru ini.

Kedua-dua suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan dan wanita warga Vietnam berusia 20 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di sekitar Pusat Perdagangan One Puchong pada 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan berkata, hasil serbuan polis menemui dan merampas dadah jenis syabu seberat enam kilogram.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang.

“Hasil siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan serbuan kedua di sebuah kondominium yang disewa pihak sindiket sejak Januari di Kepong, Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan kedua itu membawa pasukan kepada penemuan dan rampasan dadah jenis syabu seberat 21 kg, 9,600 biji pil Erimin 5 dan 6,000 biji pil ekstasi, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Tambah Anbalangan, pihaknya percaya kedua-dua suspek berkenaan berperanan sebagai pengedar untuk pasaranĀ  Lembah Klang dan usaha mengesan saki baki serta dalang sindiket pengedaran dadah tersebut sedang giat dijalankan.

“Nilai rampasan enam kilogram syabu daripada pasangan itu di hotel Puchong adalah berjumlah RM215,000 manakala syabu 21 kilogram yang dirampas dari sebuah kondominium di Kepong pula bernilai RM992,000.

“Ia sekaligus menyaksikan keseluruhan nilai rampasan barang terlarang itu berjumlah RM1.207 juta,” katanya lagi.

Menurutnya, polis sedang meneruskan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sumber semua bekalan bahan narkotik berkenaan diperolehi dan dibawa masuk ke dalam neegara sama ada produk buatan tempatan atau dari luar.

“Sumber dadah ini kita sedang siasat sama ada dari dalam atau luar negara dan kita juga sedang siasat dengan lebih lanjut peranan kedua-dua suspek kekasih ini,” katanya.

Tegas Anbalagan, sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengisi dadah berkenaan dalam peket lebih kecil untuk dijual di sekitar Lembah Klang termasuk kepada pengunjung pusat-pusat hiburan.

Malah katanya, kedua-dua suspek itu kini direman bermula 10 hingga 24 Ogos ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette