Pengendali Skuad Penyu menyambut baik venue dan tarikh final Piala FA 2022 kali ini yang akan berlangsung 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.Foto Kredit MFL

KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain telah menyambut baik tarikh perlawanan akhir Piala FA 2022 yang bakal berlangsung pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur.

Nafuzi menyifatkan Skuad Penyu kendaliannya mempunyai masa mencukupi untuk melakukan persediaan rapi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

Malaysian Football League (MFL) pada Selasa telah mengesahkan perlawanan final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang akan berlangsung pada 10 September depan di SNBJ bermula pukul 9 malam.

Jelas Nafuzi, keputusan yang telah dibuat itu pastinya menggembirakan penyokong Terengganu yang teruja dan tidak sabar untuk memenuhi stadium yang mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton.

“Dan dengan tempoh masa yang ada ketika ini pastinya akan memberikan ruang mencukupi buat juara Piala FA 2011 bagi melakukan segala persiapan untuk menentang JDT yang pastinya akan menjadi perlawanan cukup sengit.

“Satu berita yang baik untuk kami sebab daripada pasukan dan pemain memang tertunggu-tunggu keputusan ini, jadi sekarang kita sudah dapat tarikh dan kita akan bersedia menjelang tarikh itu.

“Cuma sekarang kita boleh fokus dekat Liga Super terlebih dahulu sebab kita pun ada beberapa aksi sebelum final Piala FA.

“Tapi bila sudah ada tarikh, penyokong terutamanya senang untuk menguruskan perjalanan mereka dan boleh buat apa-apa perancangan lebih awal,” kata beliau.

Tambahnya, pertemuan JDT dan TFC kali ini memang menarik dan keterujaan daripada penyokong memang dinanti-nantikan oleh kerana kali terakhir Skuad Penyu mara ke final adalah 11 tahun lepas.

Mengulas mengenai penundaan perlawanan Liga Super yang turut membabitkan pasukan Terengganu, Nafuzi memahami situasi berkenaan dan mereka juga akan mempunyai masa untuk mendapatkan kembali kecergasan sejurus berakhir aksi final nanti.

“Aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Penang FC yang dijadualkan pada 9 September 2022 bakal dipinda pada 14 September 2022 selain perlawanan tertangguh LS9 melibatkan Terengganu menentang Melaka United FC juga dipinda dari 2 September 2022 kepada 3 September 2022.

“Bagi saya tiada masalah pun sebab sebelum final kita pun ada aksi liga menentang Melaka United.

“Jadi kita ada masa mencukupi untuk berehat dan seterusnya bersedia untuk ke final, jadi saya rasa tempoh masa yang diberikan adalah bersesuaian,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast