Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 168 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran kerja dalam talian masih terkandas di luar negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, berdasarkan rekod Bukit Aman, sebanyak 182 laporan polis penipuan tawaran kerja di luar negara diterima melibatkan 238 orang sejak 2021 hingga semalam.

“Seramai 70 orang lagi mangsa terkandas berjaya diselamatkan pihak berkuasa dengan kerjasama kerajaan di sana,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noorsiah, semua mangsa diperdaya sindiket dengan iklan peluang kerjaya sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan tawaran pendapatan bulanan yang lumayan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) melalui laman Facebook.

Tambah beliau, mangsa akan berhubung dengan ejen menerusi aplikasi sosial WeChat dan WhatsApp.

Noorsiah menambah, sindiket itu akan merampas dan memusnahkan telefon bimbit serta dokumen perjalanan mangsa sejurus selepas mereka tiba di negara destinasi.

“Kesemua mangsa itu kemudian akan dikurung dan segala pergerakan mereka diawasi dengan ketat oleh pihak sindiket berkenaan.

“Kemudian, mangsa dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, love scam dan lain-lain penipuan,” jelas beliau.

Sementara itu, Noorsiah memberitahu, pada 3 Ogos lalu, polis menahan empat lelaki dan dua wanita kerana disyaki menjadi ahli sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian dalam Op Daya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda manakala bagi Seksyen 14 boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh didenda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette