Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir bagi merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Selangor ketika di Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2022.

SHAH ALAM – Kerajaan persekutuan akan menyegerakan projek-projek bagi memastikan kejadian banjir buruk yang pernah melanda Selangor tidak akan berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak lima projek tebatan banjir melibatkan peruntukan sebanyak RM4. 7 bilion akan dilaksanakan.

“Usaha ini akan disegerakan bagi mengelak kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Selangor di Tapak Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil langkah proaktif merancang pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang sesuai di negeri tersebut.

Jelas Ismail Sabri, ini termasuk menyediakan perumahan kepada rakyat terutama kumpulan B40 dan M40.

“Suka saya maklumkan, selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah rumah di negeri Selangor siap dibina sehingga bulan Jun 2022 di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM),” tambah beliau.

Terdahulu katanya, sebanyak RM6.3 bilion peruntukan telah diluluskan Kerajaan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor, di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast