Piala FA edisi musim ini akan berlangsung di SNBJ 10 September ini. Kredit foto MFL

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar pasukan yang terlibat dengan jadual pindaan Liga Super bersikap terbuka dan menerima perubahan dilakukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) demi memastikan kelicinan perlawanan akhir Piala FA.

Malah rata-rata mengakui tidak ada sebarang masalah dengan jadual terbaharu dikeluarkan MFL kerana tidak banyak mengganggu perancangan pasukan.

Antaranya ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, yang boleh menerima perubahan waktu sepak mula membabitkan Selangor pada 10 September memandangkan perlawanan akhir turut berjalan pada tarikh yang sama.

“Saya tidak ada masalah untuk perlawanan dengan Selangor pada 10 September nanti diawalkan setengah jam dari pukul 7.30 ke 7 malam kerana memahami keutamaan perlu diberikan kepada aksi final Piala FA antara Terengganu dan JDT yang berlangsung pada jam 9 malam.

“Penonton tiada masalah untuk datang setengah jam awal ke stadium asalkan perlawanan itu berlangsung pada hari Sabtu atau Ahad,” katanya kepada MFL.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr.Johan Kamal Hamidon, beliau juga sependapat dengan Kim Swee selain akui sudah pasti semua tumpuan peminat bola sepak tempatan akan tertumpu kepada final Piala FA.

“Di pihak Selangor, kami boleh menerima perubahan ini memandangkan malam itu akan berlangsung aksi final Piala FA dan semua tumpuan akan terarah ke sana.

“Cuma diharapkan peminat-peminat Red Giants yang akan bertandang ke Sabah nanti akan peka dengan perubahan waktu sepak mula dan tidak terlepas untuk menonton perlawanan ini,” katanya.

Selain membabitkan aksi Sabah dan Selangor, dua perlawanan pada minggu ke-18 membabitkan Terengganu FC dan Penang FC pada 9 September ini akan dipinda pada 14 September depan manakala aksi PJ City FC dan JDT pada 11 September ini pula
ditetapkan pada 15 September depan.

Dua lagi perlawanan yang dijadual berlangsung pada 10 September ini melibatkan Melaka United FC mln Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC mln Kuala Lumpur City (KL) City FC akan diubah kepada 9 September ini

Sementara perlawanan tertangguh melibatkan TFC mln Melaka United pada 2 September  dipinda pada 3 September manakala aksi tertangguh antara JDT menentang Melaka United pada 7 September terpaksa diawalkan pada 29 Ogos depan.

Manakala permohonan KDA FC bagi pindaan perlawanan tertangguh dengan Penang FC akan berlangsung pada 1 September  kepada 2 September depan.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam tidak keberatan menerima anjakan sebanyak empat hari bagi perlawanan bagi pertemuan dengan JDT.

Jelasnya, perubahan itu wajar dilakukan memandangkan tarikh final Piala FA pada 10 September telah dipilih oleh MFL selain tidak memberikan sebarang kesan terhadap perancangan PJ City sepanjang September.

“Kami memahami keperluan perlawanan pada 11 September itu terpaksa ditunda ekoran aksi final Piala FA jatuh pada 10 September membabitkan JDT.

” Tiada masalah bagi kami beraksi pada 15 September kerana selepas tarikh itu, liga akan berehat untuk kalendar FIFA sebelum perlawanan akan datang iaitu bertemu Kedah Darul Aman dijadualkan pada awal Oktober,” katanya.

Di kem Penang FC, ketua jurulatihnya, Dato Zainal Abidin Hassan, juga senada dengan Maniam dan mengharapkan perlawanan akhir Piala FA dapat berlangsung tanpa sebarang masalah.

“Kami hormati pindaan jadual yang dibuat oleh MFL dan untuk kami, tiada sebarang isu kerana pada September, kami hanya ada dua perlawanan sahaja untuk dilalui.

“Selamat maju jaya diucapkan untuk kedua-dua pasukan iaitu Terengganu FC dan JDT di pentas final Piala FA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast