SHAH ALAM – Kekurangan tenaga pekerja asing dalam industri binaan di negara ini berada pada tahap sangat kritikal, kata Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff.
Katanya, jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk projek pembinaan di seluruh negara ketika ini sekurang-kurangnya 500,000 orang.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini penerimaan pekerja asing terutama dari Bangladesh yang dibawa masuk hanya 55 orang.
“Kita dimaklumkan sudah ada kemasukan atau pengambilan pekerja asing dari Bangladesh dan Indonesia. Pengambilan pekerja asing dari Indonesia bermula pada 1 Ogos lalu manakala dari Bangladesh lebih awal dari itu yang berjumlah kira-kira 30,000 orang.
“Tetapi hari ini sekitar 55 pekerja asing dari Bangladesh sudah masuk (diambil),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bukit Jelutong hari ini.
Justeru, Azman meminta kerajaan agar menyegerakan proses kemasukan pekerja dari dua negara itu bagi memastikan projek pembinaan di seluruh negara berjalan lancar.
Menurutnya, tinjauan PKBM berhubung projek pembinaan dari Selatan ke Utara dan Sabah serta Sarawak, kebanyakannya agak perlahan.
“Kalau isu pekerja asing ini masih tidak dapat lagi diselaraskan dengan baik, saya rasa ramai kontraktor akan sakit (projek sakit).
“Ini yang paling kita risau kerana kita hanya menginginkan pekerja Indonesia dan Bangladesh khusus dalam bidang binaa,” katanya.
Beliau merayu kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 pada September atau Oktober ini, ada pengumuman yang baik untuk kontraktor. – MalaysiaGazette