KUALA LUMPUR – Jika Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15) dibuat pada tahun ini,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi Perdana Menteri paling singkat di Malaysia.

Namun, perkara itu tidak sedikit pun menimbulkan kegusaran kepada Ahli Parlimen Bera ini.

Malah, katanya, tempoh masa pendek atau panjang bukanlah menjadi kayu pengukur sebenar dalam sesebuah pentadbiran.

“Bagi saya pendek atau panjang tidak penting. Panjang (pentadbiran) 20 tahun pun kalau tiada manfaat kepada rakyat dan kerajaan pun tiada makna juga.

“Pendek (pentadbiran) tetapi penuh dengan kejayaan lebih baik daripada lama yang tiada kejayaan apa-apa. No point. Jadi saya fikir, ini rezeki dan Tuhan punya kuasa,” katanya ketika sesi wawancara bersama agensi media sempena setahun pentadbiran beliau sebagai perdana Menteri Malaysia ke-9 di Seri Perdana.

Dalam sesi wawancara hampir sejam itu, Ismail Sabri berkata, kuasa mengadap Yang di-Pertuan Agong terletak di tangannya dan banyak perkara harus difikirkan sebelum keputusan pembubaran Parlimen dibuat.

“Kalau lambat (bubar) apa kesannya. Jadi pendek atau panjang itu bagi saya rasa tak menimbulkan apa-apalah.

“Malaysia hari ini berdepan masalah ekonomi yang tidak menentu termasuk kesan daripada perang Rusia-Ukraine,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjawab mengenai dakwaan tindakan melewatkan pembubaran Parlimen ada kaitan dengan pergolakan dalam UMNO khususnya hubungannya dengan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Perkara itu tidak pernah berlaku. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Presiden UMNO.

“Saya kenal presiden dah lama, waktu saya sekolah lagi. Presiden adalah kawan baik saya sejak zaman sekolah lagi.

“Dulu kalau saya ponteng sekolah pun tumpang tidur bilik dia. Jadi saya kenal dia dah lama, kenal keluarganya. Sampai sekarang pun rapat dengan dia, tiada isu.

“Orang luar sahaja yang bercakap soal pecah-belah dalam UMNO ini. Sebab saya berjumpa dengan Top 5 sebulan sekali. Kalau saya ada masa, saya akan pergi ke rumah dia,” katanya.

Jelasnya lagi, tidak timbul isu langsung terhadap dakwaan pecah belah dalam UMNO.

“Top 5 pun kalau mesyuarat pun dalam keadaan yang sangat baik. Jadi kalau ada yang kata saya lengah-lengahkan kes dia, sampai dia kena tak kena, itu kita tak tahu.

“Biarlah mahkamah buat keputusan,” katanya.

Hari ini genap setahun pentadbiran Ismail Sabri selepas mengangkat sumpah pada 21 Ogos tahun lalu selepas mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast