Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi temubual bersama pengarang-pengarang kanan media tempatan di Seri Perdana. Foto Pejabat Perdana Menteri

PUTRJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan ketiadaan jawatan timbalan perdana menteri bukanlah sesuatu yang menyusahkan atau membebankan beliau sepanjang setahun menjawat jawatan nombor satu dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam temubual khas bersama barisan pengarang kanan media tempatan di Seri Perdana, beliau menegaskan, empat menteri kanan yang dilantik telah banyak membantu melicinkan pentadbirannya tanpa kehadiran timbalan perdana menteri.

Malah, Ahli Parlimen Bera itu berkata, mempunyai empat menteri kanan seolah-olah ada empat timbalan perdana menteri kerana mereka menikmati kemudahan yang sama untuk jawatan tersebut seperti polis pengiring dan pelbagai lagi.

“Benda yang diperolehi hampir sama. Ada rider, ada bodyguard, macam-macamlah, lebih kurang timbalan perdana menteri. Jadi setakat ini tidak menyusah, tidak membebankan sayalah tanpa timbalan perdana menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keempat-empat menteri kanan yang dilantik juga sudah mewakili parti yang ada kecuali Pas, namun parti itu tidak membangkitkan perkara tersebut dan menerimanya dengan baik.

Artikel berkaitan:

“Kalau tidak Pas pun boleh demand dan bertanya kenapa ada UMNO, GPS dan dua Bersatu, sedangkan sepatutnya satu Bersatu, satu Pas, satu UMNO, satu GPS. Tapi PAS tak pernah timbulkan isu ini. Jadi saya rasa maknanya semua orang menerima lah ada sedikit kelebihan dan kekurangan itu,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau tidak mahu perkara-perkara yang boleh diselesaikan secara baik menjadi isu besar yang boleh merosakkan hubungan antara parti.

Katanya, kebanyakan isu yang dicetuskan oleh orang luar sedang dalam Kabinet tidak timbul perkara-perkara sedemikian.

Baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanan Perdana Menteri sama ada pelantikan jawatan timbalan perdana menteri  wajar dilaksanakan atau tidak

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  berkata, isu itu tidak memerlukan penjelasan panjang kerana apa jua keputusan mengikut pertimbangan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast