Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) wajar dilaksanakan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  berkata, isu itu tidak memerlukan penjelasan panjang kerana apa jua keputusan mengikut pertimbangan Perdana Menteri.

“Saya hendak jawab ringkas dan tak panjang sebab terserah kepada Perdana Menteri dan ikut pertimbangan yang bijaksana,” katanya kepada media selepas Program Blood Donation Drive di Mid Valley Megamall di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada pelantikan jawatan TPM masih wajar selepas arahan dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk ‘Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam’ kelmarin.

Menurut pekeliling itu, semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan serta syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) hendaklah menyusun semula program/aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan tanpa menjejaskan program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai arahan itu, Muhyiddin berkata, langkah tersebut wajar namun setiap langkah yang diambil perlu mengambil kira beban kepada rakyat.

“Itu langkah berjimat cermat itu wajar. Tapi apa pun langkah kerajaan hendak ambil mesti ambil kira tak bawa beban meningkat dan bertambah kepada rakyat.

“Potong subsidi potong itu walaupun asasnya ada, cara hendak dilaksanakan ikut fasa-fasa.

“Saya tak nak nasihat dan mungkin Menteri Kewangan faham. Saya fikir beliau melihat situasi ke depan. Kalau Kerajaan berterusan sebegini ekonomi dan kewangan negara bertambah lebih teruk.

“Saya tak katakan bersetuju atau tidak bersetuju dan kita hendak tengok langkah dibuat nanti.

“Mungkin Majlis Pemulihan Negara pun boleh teliti langkah itu agar tepat atau sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette