Tuan Ibrahim Tuan Man

BATU CAVES – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal menjadi calon tunggal Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Jelasnya, perkara itu tidak pernah dibawa ke meja perbincangan peringkat tertinggi gabungan tersebut.

“Kita (PN) tak bincang secara spesifik dalam mesyuarat perkara tersebut (isu calon TPM) dan PN tidak bincang,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan pejabat Khidmat Malaysia di Batu Caves hari ini.

Laporan media sebelum ini memetik sumber berkata, Mohamed Azmin merupakan calon yang dikemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian.

Mengenai skandal projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), Pas berharap agar pihak bertanggungjawab mengenai isu diheret ke mahkamah segera.

Tuan Ibrahim berkata, parti itu tidak berkompromi dengan isu-isu penyelewengan dana rakyat dan tindakan pendakwaan perlu dibuat segera.

“Kita tak kompromi dengan kemungkaran jadi kalau ada pihak yang dalam siasatan perlu di heret ke mahkamah dan dibicarakan, sebab RM6 bilion itu bukan jumlah yang kecil dalam isu pertahanan sesebuah negara.

“Kita tidak boleh kompromi soal keselamatan negara kita, siasatan sudah di penghujung oleh SPRM dan bagi Pas kita setuju dan sokong bahawa mereka yang bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” 

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan kajian daya maju  yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. untuk pembinaan lima kapal LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin menggesa siasatan menyeluruh terhadap pihak yang terlibat dalam isu perolehan kapal berkenaan.

Untuk rekod, perolehan enam kapal tempur LCS diluluskan oleh kerajaan persekutuan pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat TLDM.

Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara terus tanpa tender terbuka.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013 dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan. – MalaysiaGazette