Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain menyampaikan hadiah Johan Pertandingan Pakaian Beragam kepada dua beradik cilik sempena Program Kuantan Car Free Day - Green Hour - Merdeka Edition yang dianjurkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Dataran Sayangi Kuantan di sini hari ini

KUANTAN – Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Bagi generasi yang tidak sempat mengharungi jerih perih perjuangan menempa kemerdekaan seperti nenek moyang zaman dahulu, semangat cintakan negara perlu disemai sejak kecil.

Itu yang dilakukan Atika Rhazali, 29 dan suami, Ahmad Arif Safuan, 30, pada dua anak cilik perempuan mereka.

Tampil comel berbaju kebangsaan, si kakak, Airaa azzahra, 4 dipakaikan cheongsam lengkap berwarna merah manakala si adik, Afiaa assofia yang baru berusia setahun pula dipakaikan kebaya nyonya rona biru ‘cyan’dihiasi bunga orkid di atas kepala.

Airaa Azzahra Ahmad Arif Safuan, 4 dan adiknya, Afiaa Assofia Ahmad Arif Safuan, 1 bergaya bersama basikal tiga roda dihiasi bendera Jalur Gemilang.

“Sebenarnya pakaian ni yang sedia ada sahaja. Tapi, kita pakai kepada mereka hari ini untuk meningkatkan semangat patriotik mereka,” kata Atika ketika ditemui hari ini.

Gelagat mereka mengayuh basikal kecil dihiasi bendera Jalur Gemilang berjaya mencuri perhatian sehingga mereka dianugerah tempat pertama Pertandingan Pakaian Beragam Kategori Keluarga dalam Program Kuantan Car Free DayGreen Hour  Merdeka Edition yang dianjurkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Dataran Sayangi Kuantan di sini.

Menurut Atika yang tinggal di Bukit Rangin, dia hanya mengambil masa selama 15 minit untuk menyiapkan dua puteri kesayangannya itu.

“Yang kakaknya tadah muka sahaja memang nak di ‘make up‘. Macam adik pun reda je. Mungkin dia tahu hari ni cuti nak bersiar-siar,” katanya sambil tertawa kecil.

Atika Rhazali

Tambahnya, basikal kecil sarat bendera Jalur Gemilang itu juga tidak mengambil masa yang lama untuk dihias.

Ketika ditanya, Atika berkata, ini merupakan kali kedua dia dan suami membawa dua beradik cilik ini menyertai program seperti ini yang diadakan di kawasan terbuka dalam keadaan cuaca agak panas.

“Sebelum ni kita biasakan bawa mereka untuk beraktiviti di air, di pasar raya. Jadi, sekarang saya bawa mereka ke sini, untuk banyakkan dan biasakan mereka dengan aktiviti atas darat pula,” tambahnya.

Meskipun dua beradik cilik ini belum faham erti sambutan Kemerdekaan, namun usaha Atika dan suaminya mendidik anak kecil mereka mengenal nilai patriotisme dilihat sebagai semangat yang patut ada dalam ibu bapa generasi kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast