Dr. Massila Kamalrudin (tengah) bersama-sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad (2 dari kiri), Ketua Penolong Pengarah Pusat STEM Negara, Dr. Nor Aidillina Mohd Ramli (2 dari kanan), Dekan FTMK, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi (paling kanan) bergambar bersama para pendidik di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

MELAKA – Program STEM Street Sains Komputer yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terima sambutan hebat daripada guru bimbingan dan kaunseling serta guru STEM dari seluruh Melaka.

Program STEM STREET bertemakan kerjaya dalam bidang Sains Komputer merupakan anjuran bersama Pejabat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Canselori (PKKPC) serta Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), UTeM dan Pusat STEM Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ia telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin bertempat di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Dr. Massila berkata, antara objektif program ini adalah meluaskan peranan UTeM
menerusi perkongsian kepakaran kepada para guru dalam meningkatkan
pengetahuan dan pemahaman berkenaan bidang Sains Komputer serta prospek dan
pembangunan kerjaya dalam bidang tersebut.

Jelasnya, UTeM memberi komitmen terhadap usaha kerajaan bagi memperkukuhkan profesion teknikal bertaraf dunia dari peringkat awal pendidikan menerusi pemindahan ilmu kepada para pendidik dalam menggalakkan serta mempersiapkan
pelajar sekolah untuk menjadikan STEM sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka.

Katanya lagi, pengisian dalam program melibatkan sesi forum oleh pensyarah pakar UTeM dengan tajuk “Perkembangan Bidang Sains Komputer dalam Pendidikan STEM bagi menjamin kebolehpasaran graduan”.

“Selain sesi perkongsian mengenai Badan Profesional, Malaysia Board of Technologists (MBOT), UTeM turut membawakan sesi diskusi berkaitan Success Story oleh alumni dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi yang telah
bergraduat dan beroleh pekerjaan dalam bidang Sains Komputer,” ujarnya.

Program STEM STREET 2022 di UTeM merupakan siri ketiga jelajah yang menekankan tema Sains Komputer menerusi kepakaran UTeM dalam bidang tersebut selepas siri terdahulu yang bertemakan Agroteknologi di Universiti Malaysia
Perlis dan Kejuruteraan di Universiti Teknologi MARA.

Kerjasama strategik antara UTeM dan Pusat STEM Negara KPM ini adalah sangat bertepatan bagi merealisasikan misi negara untuk melahirkan lebih ramai pakar dan modal insan yang berjaya dalam bidang Sains Komputer khususnya dan
keseluruhan STEM umumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast