Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk R Ramanan

KUALA LUMPUR – Sungguh ironi sekali ketika negara sudah menghampiri kemerdekaan yang di kecapi bersama-sama, masih ada lagi pemimpin politik dangkal dan cetek pemikiran kerana bertindak menggunakan agama, bangsa untuk terus berpolitik.

Timbalan Ketua Penerangan I PKR, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, beliau agak terkejut apabila seseorang yang cukup berpengalaman dalam politik khasnya mendukung agama Islam boleh sesuka hati mengeluarkan kenyataan mengguris perasaan agama dan bangsa lain.

Kata Ramanan, kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa  golongan bukan Islam dan bukan bumiputera merupakan kumpulan majoriti sebagai punca gejala rasuah dan perosak ekonomi negara ini sesuatu yang langsung tidak boleh diterima akal.

Jelasnya, Abdul Hadi begitu sombong sehingga gagal memahami realiti bahawa rakyat di negara ini hidup sebumbung dan majmuk untuk sekian lama dan menggunakan isu perkauman atau etnik sebenarnya sudah lapuk serta tidak boleh di guna pakai.

“Saya sungguh tidak faham, Presiden Pas ini jauh bezanya dengan Allayarham Nik Aziz, beliau jauh lebih memahami budaya, agama, bangsa dan kepercayaan berbanding yang ada kini.

“Kelakar sungguh untuk kita baca kenyataan dari Abdul Hadi yang mendakwa yang bukan Islam dan bukan bumiputra ini paling banyak terlibat dengan rasuah, politik wang dan sebagainya sungguh mengejutkan dan ironi sekali. Adakah isu ini juga anda mahu kaitkan kaum dan agama?

“Adakah betul kenyataan seperti ini? Kita berada dalam era mana ini? Apa kaitannya rasuah dan agama atau etnik? Pemimpin dan parti seperti inilah yang rakyat Malaysia secara keseluruhan perlu tolak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ramanan mengulas kenyataan Abdul Hadi yang turut mendapat kritikan daripada Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang mengatakan dakwaannya tidak berasas dan menyemarakkan sentimen perkauman dan agama lagi-lagi ketika musim kemerdekaan ini.

Kata Ramanan lagi, Abdul Hadi patut sedar banyak negara yang bukan majoriti Islam seperti Denmark, Finland dan New Zealand menjadi antara negara teratas melawan rasuah menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

“Jika hendak bercakap tentang kaum dan agama, isu ini tidak akan selesai langsung. Banyak lagi negara bukan majoriti Islam termasuklah Singapura sudah jauh meninggalkan kita dalam melawan rasuah, apakah Abdul Hadi tidak tahu fakta umum ini?

“Untuk bercakap tentang perkara ini, malah menuduh kaum tertentu lagi-lagi ketika kita hendak menyambut kemerdekaan yang kita kecapi sama adalah sesuatu yang begitu menyedihkan sekali. Tolonglah,rakyat perhati kita, jangan kita jadi bahan gelak ketawa.

“Hanya kerana hendak menang undi, janganlah main cakap sahaja. Politik seperti ini sudah tidak lagi laku. Tanggal 31 Ogos ini hari penting buat kita rakyat Malaysia, kita mencapai kemerdekaan sejak 65 tahun lepas. Marilah kita bersatu tanpa prejudis dan tuding menuding seperti ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast