Lee Chin Chen
Lee Chin Chen

KUALA LUMPUR – DAP mendakwa kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam berhubung tuduhan terhadap masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai antara punca kepada gejala rasuah dalam negara ini berunsur rasis, biadab dan prejudis.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat, Lee Chin Chen menyifatkan tuduhan itu sesuatu yang serius dan boleh menggugat keharmonian negara.

“Abdul Hadi seharusnya mengakui hakikat bahawa rasuah adalah masalah utama dalam negara ini dan ia merentasi kaum dan agama.

“Sesiapa sahaja boleh melakukan jenayah rasuah di dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi menegaskan, usaha menangani penyakit rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.” kata Abdul Hadi.

Chin Chen yang juga Setiausaha DAP Pahang secara sinis menyatakan beliau ‘kagum’ dengan sikap jahil pemimpin Pas yang tidak menghormati langsung masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera di dalam negara ini, seolah-olah mereka bukan rakyat Malaysia.

Beliau menambah, pemimpin-pemimpin Pas dikatakan terlalu sombong sehingga mereka kerap mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja menyinggung perasaan kaum dan penganut agama lain di dalam negara ini, bahkan menghina mereka dan agama mereka.

“Adakah ini yang dianjurkan oleh Islam? Adakah sikap biadab merupakan tatasusila seorang yang berbangsa Melayu?” soalnya.

Chin Chen berkata, jika kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap orang Melayu dan agama Islam dikeluarkan oleh mana-mana pihak atau individu bukan Melayu dan bukan Islam, sudah pasti Pas dan sekutunya akan mengecam tindakan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Pas agar berhenti mengeluarkan kenyataan biadab berkaitan dengan kaum dan agama lain dan belajar menghormati mereka sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini.

“Jangan jadikan agama dan perkauman sebagai modal untuk meraih sokongan. Rasuah adalah musuh negara yang perlu diperangi dan sesiapa sahaja tidak kira agama atau kaum boleh melakukan perkara keji dan terkutuk ini,” katanya. – MalaysiaGazette