Dr. Ruzairi Abdul Rahim

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menerima geran penyelidikan di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) bagi tahun 2022 bernilai RM3,817,194.

Penerimaan geran ini melibatkan 37 projek penyelidikan yang mencakupi enam bidang iaitu sains sosial, sains tulen dan gunaan, sastera dan sastera ikhtisas, teknologi dan kejuruteraan, warisan alam dan budaya serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Penerima dana penyelidikan tertinggi melibatkan penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Ts. Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dengan penyelidikan bertajuk “Ethnozoology and Wildlife Consumption Among Aborigines (Orang Asli) in Peninsular Malaysia” dengan nilai geran sebanyak RM195,000.

Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim mengucapkan tahniah kepada semua kumpulan penyelidik yang berjaya menerima geran tersebut.

”Penerimaan geran ini diharap dapat memberi ruang dan peluang kepada ahli akademik dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing di universiti ini untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung bagi membantu negara memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette