INTERNET hari ini adalah suatu medium yang sangat digemari pelbagai pihak. Ia merupakan satu teknologi yang menghubungkan satu media elektronik dengan media yang lain di seluruh dunia. Media elektronik yang dimaksudkan seperti komputer peribadi dan telefon pintar. Banyak kebaikan yang kita perolehi daripada penggunaan Internet, ia termasuklah membuat transaksi melalui perbankan Internet dan membeli belah secara dalam talian. Walau bagaimanapun, Internet tidak lari daripada ancaman seperti virus komputer, worm, Trojan Horse, spyware, adware, spam dan serangan DDoS.
Virus komputer adalah satu program yang membuat kita sebagai pengguna Internet tidak menyedari bahawa ia mampu menyalin dirinya dan menyebarkan dirinya ke dalam sistem komputer. Virus komputer pertama bernama Brain dicipta pada tahun 1986 oleh dua sahabat berasal dari Lahore, Pakistan. Manakala, Worm adalah program yang direka untuk meniru dan menyebarkan dirinya ke komputer lain. Ia dikatakan seperti virus komputer dari segi reka bentuknya dan mampu melancarkan dirinya tanpa sebarang bantuan daripada pengguna sistem komputer untuk mengganggu sistem komputer. Salah satu bahaya terbesar worm adalah ia mampu menghasilkan beribu-ribu dirinya untuk kesan yang teruk kepada sistem komputer.
Ancaman Trojan Horse juga wujud dalam dunia Intenet yang mana ia direka untuk menjadikan sistem komputer tidak dilindungi dan digunakan oleh penggodam untuk mencapai sistem tertentu bagi tujuan mencuri maklumat sensitif, memadam data, menyekat data, mengubah suai data, menyalin data dan mengganggu prestasi sistem komputer. Biasanya, Trojan Horse dimuatkan dan dilaksanakan dalam sistem komputer menggunakan cara social engineering. Tidak cukup dengan Trojan Horse, spyware juga telah direka untuk mengumpul maklumat sensitif individu atau syarikat tanpa pengetahuan mereka.
Ia kebanyakannya digunakan untuk mengesan dan menyimpan aktiviti pengguna Internet dengan memberikan iklan yang muncul di laman web, emel dan dari sambungan perkongsian fail. Setelah spyware dipasang, ia akan bertindak untuk memantau aktiviti pengguna Internet. Kita lihat pula apa itu adware. Selain spyware, adware juga adalah ancaman Internet yang direka untuk memaparkan iklan yang tidak diingini. Terdapat beberapa bentuk pengiklanan yang boleh dipaparkan melalui adware seperti di dalam antara muka pengguna sebuah perisian untuk menarik pengguna membuka iklan tersebut.
Sebagai contoh, pengguna Internet membuka dan melawat laman web melalui pelayar Internet dan satu iklan keluar melalui pelayar itu dan secara automatik perisian adware telah dipasang ke dalam sistem komputernya. Apa yang berlaku, semua maklumat penting seperti butiran kad kredit atau maklumat peribadi telah direkodkan oleh perisian adware. Ancaman Internet yang lain adalah spam. Spam adalah sejenis ancaman Internet dengan menghantar mesej yang tidak diingini, terutamanya iklan yang menarik kepada mana-mana pengguna Internet melalui emel, forum, telefon bimbit, sosial media, pemesejan permainan dalam talian dan carian akademik.
Sebagai contoh, seseorang menerima emel tertentu yang mana ia mengandungi virus komputer yang mampu tersebar ke dalam sistem komputer. Akhir sekali, kita lihat apa itu serangan DDoS. DDoS ialah sejenis ancaman Internet yang berupaya membuat sumber rangkaian tidak dapat dicapai oleh sesiapa sahaja walaupun kita adalah pengguna
berdaftar di dalam sistem tersebut. Penyerang akan menggunakan banyak komputer untuk melancarkan serangan DDoS dengan cepat.
Maka, kita sebagai pengguna Internet perlu waspada terhadap ancaman Internet dengan langkah terbaik seperti pemasangan Firewall dan perisian anti-virus bagi melindungi sistem komputer kesayangan anda.
Oleh: Ts. Dr. Mohd Azahari Mohd Yusof
Pensyarah Kanan
Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)