Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Dakwaan terbaru Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung mereka yang terlibat dengan penyelewengan projek pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) memerlukan siasatan menyeluruh.

Antara pihak yang bertanggungjawab menjalankan siasatan itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, dalam hal itu, semua pihak harus bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.

“Sejak awal lagi Pemuda UMNO tidak kompromi sebarang salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan, namun, ia harus dibuktikan dengan siasatan yang komprehensif, bukannya setakat dakwaan sahaja.

“Kita ada prosedur dan undang-undang, maka biarkan proses itu berjalan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Media hari ini mendedahkan laporan Rafizi yang mendakwa skandal projek LCS melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad dan ahli keluarganya.

Beliau mendakwa, ahli keluarga yang dimaksudkannya adalah isteri kepada Ahli Parlimen Mersing itu iaitu individu bernama Zainab Mohd Salleh.

Bagaimanapun, Abdul Latif dalam kenyataan balas yang ringkas memberitahu, Zainab Mohd Salleh bukan isterinya.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Johan Rizal memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak sekali-kali mengaitkan dakwaan penyelewengan itu dengan UMNO.

Kata beliau, sebarang salah laku isteri mahupun Dr. Abdul Latif, jika terbukti benar, tiada sebarang kaitan dengan UMNO, sebaliknya itu tindakannya itu secara peribadi.

“Rafizi jangan heret UMNO dalam isu berkenaan. Jangan timbulkan naratif persepsi seolah UMNO terbabit.

“Malah, dakwaan Rafizi itu sekali gus menafi dan menolak bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu terlibat dalam penyelewengan projek berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Abdul Latif telah melompat keluar dari UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bersama Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

“Kita hairan kenapa isu ini disenyapkan pada era kerajaan PH selama 22 bulan? Adakah kerana Dr. Latiff menjadi sebahagian daripada kerajaan PH ketika itu dengan melompat ke parti ke Bersatu menyebabkan rahsia keterlibatan beliau dan isteri didiamkan?

“Rentetan pendedahan ini juga menunjukkan secara jelas Ahli Parlimen yang melompat ke parti Bersatu adalah kerana mereka mempunyai ‘skeleton in the cupboard’ dan isu integriti.

“Maka, terbukti wujudnya tawaran serta elemen rasuah dan ugutan bagi mereka melompat supaya kes mereka disenyapkan dan tidak diambil tindakan,” katanya.

Jelas Syed Mohd Johan Rizal, hakikatnya pendedahan Rafizi telah membuka tembelang dari segi cara dan gaya kerajaan PH dan pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) melaksanakan kerja mereka.

Katanya, jika ada perkara merugikan imej parti mereka walaupun ianya salah, maka akan didiamkan.

“Sebaliknya, jika ada perkara yang menguntungkan, akan dihebahkan secara besar besaran. Jika inilah kaedahnya maka negara tidak lagi berada dalam kondusif.

“Adalah jelas, baik PH mahupun PN mereka bersekongkol untuk menyahkan kebenaran dan melindungi penipuan serta kerja kotor mereka selama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette