KUALA LUMPUR – Setelah beberapa jam penafian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya, Rafizi Ramli akan mendedahkan siapa wanita itu esok.
Timbalan Presiden PKR itu turut berkata, penafian yang dibuat oleh Abd Latiff hanya menafikan wanita itu bukan isterinya.
“Penafian Abd Latiff hanyalah yang Zainab Salleh bukan isteri dia. Laporan siasatan dalaman menyebut Zainab isteri dia.
“Saya akan tunjukkan hubungan Dr Latiff, Zainab dan syarikat-syarikat ini esok.
“Kawan-kawan jangan gelabah, yang gelabah ini orang yang sakau duit sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi turut berkata, Zainab yang dia maksudkan bukan Ketua Pengarah Kewangan (CFO) Dialog.
“ps: Zainab Salleh bukan CFO Dialog,” tulisnya.
Awal hari ini, Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing menegaskan bahawa Zainab bukan isteri beliau seperti mana yang didakwa Rafizi.
Rafizi hari ini mendedahkan skandal Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) melibatkan Abd. Latiff Ahmad dan ahli keluarganya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, ahli keluarga yang dimaksudkannya adalah isteri kepada Abd Latiff iaitu individu bernama Zainab.
Dalam pendedahan menerusi Facebook rasminya itu, Rafizi berkata, keluarga bekas pemimpin UMNO itu didakwa memiliki dua syarikat palsu yang didaftarkan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: