KUALA LUMPUR – Dialog Group menjelaskan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Setiausaha Syarikat Bersama, Zainab Mohd Salleh dikenal pasti bukan pemegang saham Alizes Marine Limited.

Syarikat itu berkata, Zainab merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan, Pakar Perunding Ginekologi-Onkologi di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC).

Menurutnya, syarikat itu memandang serius sebarang tuduhan palsu atau kenyataan mengelirukan dikeluarkan dan atau ditujukan kepada Dialog Group Berhad, anak syarikatnya termasuk pengarah dan/atau pekerjanya.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan berkenaan dengan tuduhan atau kenyataan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dialog membuat penyataan tegas itu susulan pendedahan dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa Zainab merupakan isteri kedua kepada Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Rafizi, Abdul Latif adalah Ahli Parlimen Mersing, juga pemimpin UMNO sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Ketika itu Menteri Pertahanan adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

‘Zainab’ dikaitkan dengan skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu apabila menyimpulkan terdapat dua buah syarikat palsu yang menggunakan nama Alizes Marine telah didaftarkan.

Sebuah syarikat bernama Alizes Marine Limited yang didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan yang didaftarkan di Labuan.

Rafizi mendakwa semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita bernama Zainab yang juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

Menurut Rafizi lagi, kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zainab bukan isteri saya – Abd Latiff