WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menolak permintaan Ukraine untuk larangan visa menyeluruh terhadap warga Rusia.
Menurut Washington, ia tidak mahu menutup laluan untuk melindungi penentang Rusia dan orang lain kerana ia terdedah kepada pelanggaran hak asasi manusia.
Awal bulan ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy telah membuat gesaan supaya melaksanakan larangan visa semasa wawancara dengan Washington Post.
Kata Zelenskiy, rakyat Rusia harus “hidup dalam dunia mereka sendiri sehingga falsafah mereka berubah’.
Zelenskiy kemudian membuat beberapa lagi gesaan beberapa minggu lalu supaya negara-negara Kesatuan Eropah (EU)mengharamkan visa bagi warga Rusia bagi memastikan blok itu daripada menjadi “pasar raya” terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai cara untuk masuk.
Jurucakap Jabatan Negara berkata, pentadbiran Joe Biden telah pun mengenakan sekatan visa untuk pegawai Kremlin.
Tetapi ia menjelaskan fokusnya untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan meminta mereka bertanggungjawab.
“AS tidak mahu menutup laluan ke tempat perlindungan dan keselamatan bagi penentang Rusia atau orang lain yang terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia.
“Kami juga jelas bahawa adalah penting untuk membuat pertimbangan antara tindakan ke atas Kerajaan Rusia dan dasar-dasarnya di Ukraine serta rakyat Rusia,” tambah jurucakap Jabatan Negara.
Beberapa pemimpin EU seperti Perdana Menteri Finland Sanna Marin dan rakan sejawatannya dari Estonia, Kaja Kallas, telah menggesa larangan visa seluruh EU.
Canselor Jerman, Olaf Scholz menentang perkara ini pada hari Isnin berkata, rakyat Rusia sepatutnya boleh meninggalkan negara asal mereka jika mereka tidak bersetuju dengan rejim itu. – Reuters