Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau, Temerloh yang baru dirasmikan hari ini.

TEMERLOH – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krau dekat sini dilihat membantu meningkatkan kemampuan ‘Wira Merah’ dalam memberi respon segera terhadap panggilan kecemasan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia pasti melegakan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada khidmat Balai Bomba Temerloh, Jengka dan Jerantut yang jaraknya hampir 40 kilometer.

“Alhamdulillah hari ini di atas tapak tanah berkeluasan 4.943 ekar ini hari ini berdiri dengan megahnya Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau, Balai Bomba kategori D yang dilengkapi dengan ruang jentera 1 petak, pejabat pentadbiran, stor logistik beserta garaj berbumbung,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semasa menghadiri Program Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Temerloh hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada  Program Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Pada majlis itu, Reezal Merican turut mengumumkan kelulusan penambahan tiga buah bot penyelamat kepada dua buah bot sedia ada kepada balai bomba baharu itu.

Jelas beliau, pembinaan balai bomba di sini menjadikan Pahang kini mempunyai 28 balai dengan beberapa lagi balai bomba kini dalam pembinaan seperti di Sungai Lembing, Gohtong Jaya, Benta dan Lanchang.

“Balai ini telah dimulakan pada 25 November 2019 dan siap sepenuhnya pada 16 April 2022 melibatkan peruntukan keseluruhannya berjumlah RM2.8 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha berterusan memperkasa aset-aset bomba di peringkat BBP supaya keupayaan mereka untuk respon jauh lebih berkesan.

“Sekarang kita letak KPI supaya respon time diletakkan di bawah 10 minit sesuai dengan piawaian antarabangsa,” jelas Reezal Merican.

Katanya, dengan adanya Balai Bomba Kuala Krau, ia pasti memudahkan usaha melatih lebih ramai orang awam, masyarakat setempat dengan asas kebombaan dan penyelamat seterusnya menjadi bomba sukarela berkemahiran. – MalaysiaGazette