Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan Malaysia Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global.

Bagaimanapun, kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme subsidi dengan lebih bersasar supaya manfaat ditumpukan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

“Berikutan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambahbaik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

“Tanpa subsidi yang disediakan untuk barangan asas dianggarkan inflasi akan mencapai 11.4 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di sini hari ini.

Majlis penutup akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabrio Yaakob tengahari ini.

Shahar berkata, inisiatif pembaharuan fiskal itu bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah counter-cyclical untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan.

Tambah beliau, walaupun negara kini telah beralih dari fasa pemulihan pasca Covid-19 ke fasa pembaharuan dan pembangunan namun rakyat mendepani cabaran baharu dalam bentuk ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing seterusnya mewujudkan tekanan inflasi terutamanya ke atas harga komoditi dan makanan serta gangguan bekalan.

Ujarnya, tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama 2022 mencatat kadar 2.5 dan ia jauh lebih rendah daripada inflasi negara lain terutama negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mencecah sembilan peratus sementara di negara-negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus.

“Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal ekoran daripada pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahar berkata, bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan, fokus kerajaan pada Bajet 2023 adalah tertumpu kepada inisiatif-inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, langkah tersebut adalah melalui peningkatan pendapatan dan perlindungan sosial, daya saing perniagaan dan rantaian nilai berkaitan serta memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan. – MalaysiaGazette