Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 pelajar sebuah kolej vokasional di Setapak, dekat sini, ditahan polis kerana disyaki memukul seorang pelajar kolej yang sama.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes merusuh melibatkan beberapa orang pelajar di kolej tersebut semalam

“Pengadu seorang wanita warga tempatan yang merupakan ibu kepada mangsa mendakwa dia telah menerima makluman daripada warden asrama kolej vokasional berkenaan bahawa anaknya berusia 16 tahun tidak sihat.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan sebelum mangsa memaklumkan pengadu bahawa dia telah dipukul beramai-ramai oleh rakan-rakan senior kolej semasa berada di surau asrama kolej itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk, pinggang serta sakit di keseluruhan badan akibat dipukul.

Sehubungan dengan itu, menurut Ashari, polis telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Bertindak di atas maklumat dan laporan polis ibu mangsa, pada Selasa pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju telah membuat tangkapan ke atas 10 orang pelajar senior kolej vokasional itu yang disyaki terlibat dalam rusuhan untuk tindakan lanjut.

“Kesemua suspek adalah berusia antara 16 hingga 20 tahun sedang disiasat lanjut bagi membantu kes dan kalau perlu esok kita akan menghadapkan mereka ke mahkamah untuk permohonan tahan reman membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya. – MalaysiaGazette