Mahmud Abbas dan Pengarah Urusan Bahagian Gadai Janji Affin Bank, Jessie Wong Yen Yee, menunjukkan MoC yang ditandatangani.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Affin Bank menawarkan penyelesaian pembiayaan pada kadar menarik dalam program Home Step Fast/i bagi membolehkan pembeli membayar ansuran lebih rendah untuk tempoh lima tahun pertama pemilikan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, tawaran itu bagi meningkatkan tahap pemilikan rumah di negeri ini, sekali gus memberi sokongan kepada program ‘Rumah Selangorku’.

Menurutnya, Memorandum Kerjasama (MoC) antara PKNS dan Affin Bank itu meliputi semua pembangunan kediaman PKNS yang sedang dalam pembinaan dan telah siap.

Dalam usaha menggiatkan lagi tahap pemilikan rumah di negeri ini, kerjasama dengan Affin Bank dalam program Home Step Fast/i menawarkan pembiayaan 90% dengan tambahan 5.0% diperuntukkan untuk Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) atau Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT), yuran guaman dan dokumentasi, duti setem dan penilaian hartanah dan pilihan untuk membiayai sistem solar rumah.

“PKNS meramalkan proses pemulihan beransur-ansur dalam pertumbuhan perniagaan dan kerjasama dengan Affin Bank ini diharap dapat mengukuhkan portfolio syarikat atas dasar dapat mengurangkan perbelanjaan awal pembeli,” katanya.

Pinjaman ini ditawarkan oleh Affin Bank sehingga 30 tahun atau sehingga pelanggan mencapai umur 70 tahun.

Mahmud berkata, dengan sokongan Affin Bank ini, PKNS berharap produk harga berpatutannya lebih mudah dibeli terutamanya pembeli rumah muda yang mahu membeli rumah pertama.

PKNS adalah pemaju hartanah bereputasi dengan rekod pencapaian kukuh membina rumah mampu milik sejak 58 tahun lalu.

Tambahnya, kerjasama itu bertepatan ketika projek terbaharu PKNS, Residensi Advena di Seksyen 16 Shah Alam, yang ditawarkan pada harga kira-kira RM400,000, bakal dilancarkan pada bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast