KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia meminta orang ramai menghentikan sebaran kononnya mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.
Dalam jawapan ringkas menerusi Facebook rasminya hari ini, Jabatan Penjara Malaysia mendakwa maklumat yang tular itu adalah palsu.
Jawapan itu dikeluarkan jabatan berkenaan berhubung satu status dalam akaun Facebook bernama D’eyo Adie bertajuk, Penjara Untuk VIP.
Pemilik akaun Facebook itu turut menyiarkan sekeping gambar yang dikatakan bilik tahanan untuk VIP dengan mendakwa bilik tahanan untuk VIP tak sama seperti bilik banduan biasa.
Najib dihantar ke Penjara Kajang semalam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette