UMNO
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir ke Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.

Mesyuarat yang dijadualkan bermula pukul 8 malam tersebut dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Difahamkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut menghadiri mesyuarat tersebut.

Antara pemimpin-pemimpin UMNO yang dilihat memasuki ruang legar Menara Datuk Onn ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin, Datuk Seri Saarani Mohamad, Isham Jalil, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mesyuarat itu diadakan sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Sabtu ini, Ahmad Zahid dijadualkan menyampaikan taklimat khas Presiden UMNO kepada semua ahli jawatankuasa UMNO bahagian dan pemimpin-pemimpin parti di Dewan Merdeka, WTCKL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast