Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak khusyuk mengaminkan doa selepas menunaikan Solat Hajat dan Doa Munajat berhubung kes rayuan akhirnya dalam SRC International Sdn Bhd (SRC) di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Mungkin nalurinya sudah tahu pengakhiran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, Datuk Seri Najib Razak sempat meninggalkan sekeping nota buat keluarganya.

Menurut keluarga Najib, nota itu telah ditinggalkan atas mejanya.

Dalam bingkisan buat keluarganya, Najib meluahkan rasa redhanya pada ketentuan dan dugaan Allah terhadap dirinya.

Menurut Najib, apa yang dilaluinya itu adalah satu pengorbanan yang beliau pilih dan buat apabila mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam politik dan perkhidmatan awam selama 46 tahun.

Bagi Najib, 46 tahun itu adalah satu tempoh yang lama selepas memilih untuk mewarisi legasi datuknya.

Sepanjang tempoh itu, beliau terlibat dalam merancang pembangunan, menggubal dasar kebajikan, mengurus ekonomi, mengukuhkan hubungan antarabangsa dan menyelesaikan krisis.

Menurut Najib, pastinya tugas beliau ada kelebihan dan kekurangan.

Katanya, jika cabaran-cabaran yang hasilkannya memberi kebaikan, beliau akan tersenyum.

Tetapi ada kalanya hasil tidak sebaik yang diharapkan dan beliau akan cuba lagi dan lagi.

Jika diimbas kembali, Najib akui ia satu pengorbanan yang besar.

”Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja. Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian.

”Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama you all. My years have gone by dedicated to people, public service, politics. A sacrifice I chose and I made,” katanya.

Menurut Najib lagi, perjalanan karier politiknya menggembirakan dengan kehadiran keluarganya walaupun sering tidak dapat bersama-sama mereka.

Namun, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan, pengakhiran ‘perjalanan’ itu sebagai ‘satu perjalanan yang sedih sekali’ dan pengorbanan keluarga tidak terbalas olehnya.

”Setakat ini sahaja yang Daddy dapat bersama. Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam. Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT. Apalah daya Daddy manusia dan hambaNya,” luah Najib.

Katanya, sebagai hamba Allah, beliau hanya menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat kelak.

”Di dunia kita hidup sementara, dibangkitkan di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana. Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati keluarga kita sentiasa dengan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan,” doanya buat keluarga beliau. – MalaysiaGazette