KUALA LUMPUR – “Terlalu banyak kebaikannya untuk saya ceritakan.”
Itu kata pelakon, Fizo Omar mengenai pengalamannya bekerjasama dengan bekas perdana menteri beberapa kali sebelum ini.
Beliau berkata, rakyat dapat menikmati pelbagai bantuan sepanjang tempoh Najib menjadi perdana menteri keenam.
“Terima kasih saya ucapkan atas jasa dan pengorbanan Datuk Seri Najib,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar melihat banyak pihak yang memberi reaksi berunsur sindiran terhadap Najib lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai pendapat politik berbeza.
Beliau berpandangan, hukuman yang diterima Najib itu bukan untuk diraikan kerana ia adalah percaturan yang maha hebat daripada Allah yang pasti mempunyai mesej yang tersirat untuk semua.
“Kita semua rakyat Malaysia berada di bawah undang-undang yang sama dan tidak ada kelebihan berdasarkan jawatan, pangkat mahu pun kuasa.
“Soal tentang kebenaran di atas apa yang yang dilakukan, itu hanya tuan punya badan dan Allah sahaja yang mengetahuinya, kita sebagai rakyat biasa hanya disajikan dengan laporan dari media dan tidak sepatutnya untuk terus menghina dan menghukumnya,” katanya.
Fizo berharap keputusan mahkamah itu membuka mata semua pihak dan memberi amaran keras kepada ahli-ahli politik dan para pemimpin tiada sesiapa pun yang terkecuali di bawah undang-undang negara.
“Semoga Datuk Seri Najib dan seluruh ahli keluarga tabah menghadapi dugaan ini dan sama-samalah kita doakan hikmah kebaikan di sebalik apa yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette