KUALA LUMPUR – UMNO tidak memerlukan poster boy untuk diketengahkan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, poster boy kini tidak lagi relevan kerana ia boleh jadi bola tanggung, karung tinju atau senjata makan tuan kepada parti.
“Walaupun sudah ada keputusan tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja poster boy. Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi poster boy.
“Justeru, lagi baik logo Barisan Nasional (BN) dijadikan poster boy. Benda tak bernyawa memang sukar untuk difitnah. Lagi pun logo BN telah sebati kepada rakyat.
“Poster boy tidak boleh mereka yang over perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Bagaimanapun, Mohd. Puad tidak menyebut nama tokoh yang beliau maksudkan dalam hantaran tersebut.
Sebelum itu, UMNO menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai poster boy bagi berdepan PRU-15. – MalaysiaGazette